SIEM REAP : i`m lost in my own World

Assalam

Lama sudah tidak menulis.  Dalam ertikata lain, lama sudah tidak syok sendiri menulis😁.  


Sebelum bercerita tentang Siem Reap, marilah bercerita kisah epik dalam sejarah pemilikan  handphone mak apabila mak yang selalu berhati-hati ini tanpa sedar terkaut sekali handphone dan merendamnya bersama cadar dan comforter dalam mesin basuh selama 1 jam.  Just imagine handphone hangpa dok terendam dalam ayaq sabun tu 1 jam lamanya.... pastu kasi pusing wash and rinse, softener bagai, maka petua tanam handphone dalam beras 2 hari 2 malam untuk keringkan (petua cik Google)  tidak boleh diguna pakailah lagi.   Tak hidup balik aipong ku itu.   "Dah short circuit makcik sebab makcik dah on phone sebelum ia kering betul.."    uwaaaa..😭

Dalam redho ku akan musibah itu terkenang-kenanglah  banyak imej percutian di Siem Reap,  separuh hilang begitu sahaja tanpa sempat di upload ke IG bersama jahanamnya handphoneku.    Apatah lagi mak kamu kan jimat tak bertempat.  Tak pernah nak bayar tambahan fee untuk account iCloud kerana selalunya bila penuh je data iCloud, mak akan upload gambar2 ke MyPassport.  Hmmmmmmm... astaghfirullah hal azim.  Aku hanya manusia biasa Ya Allah.  Mungkin ada hikmahnya.  Nak dapat Iphone 12 kah? 😛 #beranganitupercuma #tungguduitjatuhdarilangitketujuh

A lot of things happened lately.  I am lost in my own world  dalam misi menggapai mardhatillah-Mu.  Ya Allah mudahkanlah segala urusan kami.  Urusan yang selalunya melalaikan kami ini.




Kelak kau akan tahu, tuan
Jenis cinta seperti apa kita ini,
Terkadang setabah tanah yang rela
diguyur hujan siang malam dan disiram
terik mentari.
Namun suatu saat kita pun begitu terpesona dengan rintik hujan
dan airnya menggenang dibawah tapak kakimu.
Tapi, tak jarang kita begitu ingin berteduh
lama-lama dibawah sepotong senja.
#salintampal

Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Siem Reap. Selalunya bila ke Kemboja, kami akan turun di airport Phnom Pehn.  Airport Siem Reap yang baru dan moden ini nampak lengang. Kebetulan ketika tiba di airport terdapat festival makanan sedang dilancarkan.  Pelancong yang tiba di jamu dengan makanan seperti "miang kham" dan hirisan buah-buahan. Saya tidak sempat menjamahnya pun sebab  sibuk mencari toilet 😐




Langit cerah mengalu-alukan kedatangan kami ke Siem Reap pada mulanya.  Namun langit mula bergelora menjelang malam dan keesokan harinya.  Musim di sana secara normalnya adalah 6 bulan panas kering kontang dan 6 bulan hujan sampai banjir.  Kebanyakan kawasan ketika itu sedang mengalami banjir.  Air banjir yang kotor dan jalan tanah merah yang tidak bertar menjadikan keadaan yang lebih buruk di kawasan perkampungan.


Pemerintahan di Kemboja berbeza dibandingkan dengan negara kita di sini.   Mereka tidak seperti di negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi.  
#rakyatmemerhati,rakyatbukanbacawhatappsyangkauhantarsahaja. 

Peralihan kuasa tidak mungkin berlaku di Kemboja sekarang walau segagah dan sekuat mana pun rakyatnya memberontak kerana semua yang memegang jawatan penting dari laut, udara dan darat adalah dari kaum kerabat pemimpinnya sendiri. Sejak dari tahun 1985 lagi, ia telah diterajui oleh PM yang sama.  Pemimpin yang memerintah negara paling lama, malah paling lama dari pemimpin-pemimpin lainnya di dunia.  Apakah?  Mengapakah? 

Bak kata pemandu tuk tuk kami yang dulunya pernah bekerja di Melaka bernama N.... (Melayu Champa yang namanya haruslah dirahasiakan demi keselamatannya).  Jika ada yang menegur pemerintah sekarang, membangkang secara senyap-senyap atau pun terbuka.  Engkau harus lari dulu keluar negara untuk menyelamatkan nyawa atau esoknya kau hanya akan tinggal nama sahaja.  Jasad pun tidak ditemui.  Hilang ghaib begitu sahaja. Bayangkan jika rakyat di negara kita menerima nasib yang sama seperti rakyat disana. Takutnya. Kebanyakan Melayu Champa yang pernah bekerja di Malaysia satu waktu dahulu memang mengagumi negara kita. Marilah kita bersatu hati walaupun kita berlainan bangsa dan agama. Inshaa Allah semoga Allah swt memelihara negara kita yang tercinta ini. Ameen.


Kami menginap di Villa Angkor Kirin Marry. Ia terletak di kampung Thom kampung muslim dimana mudah untuk mendapatkan makanan halal.  Villa ini mempunyai restorannya sendiri dan kami tidak perlu keluar untuk makan.  Ia berdekatan dengan Masjid An Neakmah dan juga restoren The Siem Reap Backpackers yang terkenal dikalangan pelancong back packers.  Dan juga segala pasar malam dan pasar siangnya yang terletak dipersekitaran.

Kemudian keesokan harinya kami melakukan perjalanan ke UNESCO World Heritage Centre yang terkenal di dunia di Siem Reap iaitu ke Angkor Wat dan juga ke Angkor Thom, Bayon Temple dan juga ke Tonle Sap.


Menu: "Beef up on the mountain" namanya.



JOM nikmati hidangan "Beef Up On The Mountain" atau "Lembu di atas Gunung" ala-ala steamboat ini jika singgah di restoren halal di Siem Reap.  Daging lembu dihiris nipis diperap dan dipecahkan telur di atasnya kemudian dimasak di atas kuali yang mungkum (kiranya kuali mungkum itu adalah simbolik gunungnya), kemudiannya setelah masak dicicah dengan sos seperti gambar di atas. Resepi sosnya amat mudah dan sedap juga.  Tumbuk jangan hancur bawang putih, bawang merah, cili hidup, sedikit garam dan campurkan dengan susu segar dan perahan limau nipis.   Simple but sodap.

Tidak sah jika tidak bercerita tentang kisah2 ngeri yang berlaku di Siem Reap.  Ada segelintir keluarga di Siem Reap mempunyai kolam untuk menternak buaya (untuk daging dan kulit buaya) di belakang rumah mereka.  Kisah ngeri ini ialah kisah anak kecil berusia 2 tahun yang merayau keluar rumah dan berjaya meloloskan diri dari pagar kolam dan akhirnya terjatuh ke dalam kolam peliharaan buaya bapanya sendiri dan pencarian mencari anak hilang mereka berakhir apabila bapa mangsa melihat hanya tengkorak kecil anaknya sahaja yang tinggal setelah menjadi habuan buaya-buaya ini dengan sekelip mata pada bulan Julai lalu. Ini memang kisah benar.

Ini pula kisah penternak buaya yang mencuri motosikal untuk dijual secara pukal dalam pasaran gelap dan menculik pemilik motosikal itu sekali untuk dijadikan makanan kepada buayanya pula. Astaghfirullah hal azim.  Kisah ini terbongkar apabila satu hari dia tersilap besar apabila menculik sahabat baik isterinya sendiri untuk diberi makan kepada buaya.  Isterinya tidak dapat bersabar lagi dan membuat laporan polis hingga tertangkapnya sang suami jahanam itu.  Begitu banyak tengkorak manusia telah ditemui di dalam kolam buayanya.   Wallah hu a`lam.   

Tidak pasti sama ada kisah ini benar atau pun tidak, seperti yang diceritakan oleh pemandu tuk tuk kami yang tersangat peramah ini (dulu beliau pernah bekerja menoreh getah di Melaka selama 10 tahun) sehingga tidak memberi peluang kepada mak kamu nak memproses air laici (tersengok2) dalam perjalanan yang panjang menaiki tuk-tuk ke kompleks Angkor, Angkor Wat dan Tonle Sap itu. 
Ada sahaja kisah menarik yang diceritakan kepada mak dalam kepetahannya berbahasa Melayu.  Dah lama takde geng nak cakap Melayu kot.  Mak layan jelaa ...  
  

Akhirnya selesai sudah misi utama kami ke sini iaitu untuk menghantar surah-surah Yasin terjemahan Bahasa Khmer kepada dua buah masjid di Kg Thom dan Ton Le Sap, Siem Reap.  Naskah surah Yasin ini telah diterjemahkan oleh almarhum Ustaz Hasan al Basri dari Kemboja ketika masih ada hayatnya dan telah di cetak di Malaysia. Sudah setahun almarhum kembali ke rahmatullah. Semoga Allah swt melimpahkan pahala seperti air sungai yang deras mengalir kepadanya diatas usaha beliau ini.  Ameen ameen ya rabbal alameen.

Layan peminat sat.. #Bayontemple

Pastikan anda mendapatkan khidmat pemandu tuk tuk/taxi/van yang boleh berbahasa Melayu  dan beragama Islam kerana  kita boleh meminta mereka membawa kita ke restoren halal untuk makan dan yang mempunyai tempat solat untuk kita solat jamak sebelum memulakan perjalanan melawat kompleks Angkor yang merupakan UNESCO World Heritage kompleks keagamaan Hindu asalnya kemudian Buddha yang terbesar di dunia itu.  Restoren halal memang sukar untuk ditemui selain dari di perkampungan Muslim sahaja di Siem Reap berbanding dengan di Phnom Penh. Bayaran untuk membawa kami selama 1 hari perjalanan menaiki tuk tuk ialah USD20 dari pagi hingga ke petang dan bayaran untuk masuk ke kompleks ini ialah USD37 seorang.  Ada pakej untuk lawatan sehari dan lebih.  Disebabkan kami hanya ingin melawat sahaja tidaklah kami terburu-buru untuk ambil gambar sunset ke, sunrise ke dan hanya ke tempat yang perlu sahaja. Mendapat pemandu tuk tuk kami ini yang mengalahkan jurugambar profesional mengambil gambar kami merupakan satu bonus sebenarnya. Alhamdulillah.  Ada banyak imej yang menarik telah hilang di handphoneku namun di handphone ayah pasti ada banyak lagi.. hehehe... 😌



Dari Siem Reap pula kami menaiki  bas malam yang dipanggil "sleeper bus" yang memakan masa selama 6 jam perjalanan untuk ke Phnom Pehn.  Bas malam ini dilengkapi dengan katil dua tingkat. Kita masuk ke dalam bas untuk terus baring dan tidur sahaja. Mujurlah kami mendapat katil di tingkat bawah.  Penumpang harus membuka kasut dan kasut dimasukkan ke dalam beg plastik yang disediakan untuk setiap orang.  Maka keadaan lantainya memang bersih.  Setiap katil dilengkapi dengan socket outlet untuk mengecas handphone.  Bantal kecil dan selimut, sebotol air untuk minum serta toilet yang bersih disediakan.  Cuma anda perlulah berhati-hati kerana ada juga kes kecurian terjadi. Pastikan beg tangan anda erat tersimpan dalam pelukan.   Lampu juga tidak dibuka dan dibiar gelap sepanjang perjalanan. Namun mak memang sukar untuk tidur dan asyik berulang-alik ke toilet sahaja kerjanya.  Anxious ?????

Masjid Al Serkal di Phnom Pehn

Bas akan tiba di Phnom Pehn ketika menjelang waktu subuh dan kita harus segera ke Masjid berdekatan untuk membersihkan diri dan bersolat.  Hotel tidak akan menerima kita pada waktu pagi. Walau bagaimanapun kami sebenarnya dalam misi kemasyarakatan ke Kompong Tralach, bersarapan dahulu dan terus bertolak ke sana tanpa ke hotel terlebih dahulu.


"Ya Allah kami banyak dosa Ya Allah.  Terimalah kami, ampunilah kami. Ya Allah jika kami pernah berlaku syirik, pernah menduakan-Mu, Kau ampunilah kami.  Kami tidak pernah begitu Ya Allah.  Jika ia berlaku adalah kerana kebodohan dan kejahilan kami Ya Allah "- petikan doa dari buku Nota dari Madinah.


Akhir kalam semoga catatan ini memberikan sedikit manfaat kepada pembaca sekalian untuk ke Siem Reap.  Membaca sajak sudah,  firman Allah swt sudah, berdoa pun sudah.. apalagi cubalah buat resepi sos lembu panjat gunung itu pula ya!  Daging wagyu yang cair dimulut itu mungkin sedap dicicah dengan sos sedemikian.  Selamat mencuba.

Rabbi yassir walaa tu assir.  Sekian sampai di sini.  Jumpa lagi.


Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?