Cairo/Alexandria: We missed our stop station while still on the train 😰

Assalam

Pepatah "kill two birds with one stone" ke Egypt lewat Februari 2017 lalu memanglah satu perjalanan yang sangat dinantikan. Menghadiri majlis konvokesyen anakanda sekaligus menjelajahi tempat-tempat yang menarik di Alexandria dan Cairo di mana di antaranya melihat keajaiban dunia iaitu The Great Pyramid of Giza. Seven wonders of the ancient world katanya. Wallah hu a'lam.

Bermula di stesen keretapi Tanta untuk ke Kaherah
Menunggu keretapi di Kaherah pula untuk ke Alexandria.
Lebih enam tahun anakanda menuntut di Tanta, maka memang berhasrat jugalah untuk melancong ke sana pula.  Mesir juga di gelar bumi para Anbiya' kerana ramainya para Nabi yang diutus ke sana. Kaherah juga amat istimewa dengan adanya makam yang tidak sempurna jenazahnya kepunyaan Saiyidina Husein iaitu cucunda kepada baginda Nabi Muhammad saw dan dikuburkan bersama beberapa ahli Al Bait di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengurniakan tempat yang mulia dan darjat yang tertinggi di dunia dan di akhirat ke atas mereka. Sila baca Sejarah Islam untuk kisah lanjut.

‘Pergilah kamu ke satu kota(Mesir) pasti kamu memperoleh apa yang kamu minta”
(surah al-Baqarah ayat 61)

Entri ini adalah kesinambungan dari entri lalu, link seperti di bawah .. 😎


*Egypt = Mesir
*Cairo = Kaherah
*Alexandria = Iskandariah

Maafkan saya jika pembaca menjadi keliru dengan nama-nama tempat seperti di atas.. di mana sebenarnya adalah tempat yang sama sahaja *

Mesir merupakan negara yang sangat hebat pada satu masa dahulu dan Kaherah merupakan ibu negaranya yang sangat terkenal. Egypt merupakan negara yang sangat hebat pada satu masa dahulu dan Cairo merupakan ibu negaranya yang sangat terkenal. See... 😉 

Siri revolusinya, rampasan kuasa untuk menguasai tampuk pemerintahan, Dataran Tahrir, Anwar Sadat, Hosni Mubarak, Mohamed Morsi, El Sisi adalah tajuk cerita dan di antara nama-nama yang menjadi sebutan rakyat kita. Siri filem "The Mommy" yang sangat menakutkan itu juga di olah asal usulnya dari Mesir juga.  Juga tragedi siri pengeboman gereja di Tanta yang menjadikan emakmu tidak keruan di sini.  Hanya kepada Allah swt kami berserah.
Tanta terletak di tengah-tengah di antara Cairo dan Alexandria
Sebenarnya entri ini hanya hendak bercerita mengenai peristiwa "kenangan yang tidak boleh dilupakan" perjalanan menaiki keretapi dari Tanta ke Cairo. Kemudian dari Cairo ke Alexandria pula dan perjalanan pulang semula dari Alexandria ke Tanta tetapi terlajak tidak sempat turun hingga sampai ke stesen keretapi kecil di Banha pula  ..huhuhu..  

Oktober sudah berlalu,  sudah hampir  ke pertengahan November pun saya masih terhegeh-hegeh menulis entri perjalanan naik keretapi di Mesir. Di Malaysia pun cuma berpengalaman menaiki komuter dari Klang Station hingga ke KL Sentral sahaja. Mak Uda and the geng dah naik ETS sampai ke Hatyai kot. Mahunya tidak teruja..

Terdapat pelbagai perkhidmatan keretapi yang biasa digunakan di sini iaitu keretapi khas, keretapi express, keretapi biasa, keretapi kampung dan juga keretapi yang boleh kita tidur dan bermalam di dalam perjalanan yang jauh.  Wallah hu a`lam.

Anda boleh menyemak jadual untuk membeli tiket, masa & tambang keretapi di https://enr.gov.eg. Tiket boleh sahaja dibeli secara online.




Kami memulakan perjalanan ke Kaherah dari Tanta dengan menaiki keretapi kelas 2 yang telah ditempah tiketnya secara online terlebih dahulu oleh kaklong. Keretapi yang selesa dan boleh memuatkan hand luggage 20cm di sisi kami. Memang selesa.. sebab sekejapan sahaja encik suami sudah terlena. 

Jarak di antara Tanta dan Cairo ialah lebih kurang 83.4km. Mengambil masa lebih kurang 1 1/2 jam perjalanan menaiki keretapi. Lebih kurang seperti dari Klang ke Sabak Bernam. Tak jauh tapi tak terjejak dek kaki nak menapak berjalan kaki..

Hello Cairo!
Ramses Station di Cairo

Kami tiba di stesen keretapi Ramses di Cairo dan disambut oleh ustaz Azmi dari Sahar Ellayale Tours yang mengatur perjalanan kami untuk menjelajahi ke tempat-tempat menarik di bandar Cairo seperti ke Pyramid, Perfume Factory dan Papyrus, Masjid Sultan Hasan dan makan malam di atas kapal Nil Cruise.  Kami cuma bermalam 2 hari sahaja di Kaherah sebelum memulakan perjalanan menaiki keretapi dari Kaherah ke Iskandariah pula.

Pyramid Giza, Sphinx dan sebagainya tu nanti-nanti lah kita bercerita di entri yang lain pula ya..


Stesen Keretapi Ramses (Bahasa Arab: محطة رمسيس Maḥaṭṭat Ramsīs), juga dikenali sebagai Stesen Misr (Arab: محطة مصر Maḥṭṭat Miṣr) adalah stesen keretapi utama di Kaherah. Nama stesen ini mengambil sempena nama Ramses II Firaun dari zaman Mesir kuno yang patungnya didirikan oleh Nasseron di sana pada tahun 1955. - petikan wiki.



Ala -ala piring UFO suasana di dalam stesen ini

Stesen kereta api ini asalnya dibina untuk menyambungkan terminal kereta api pertama dari Alexandria ke Kaherah pada tahun 1856. Bangunan sekarang di dirikan pada tahun 1892 dan dinaik tarafkan pada tahun 1955. Pada Januari 2001 ia menjalani perubahan yang sangat pesat. Pada awal tahun 2011, berikutan "Uprising Egypt", stesen Ramses telah dinaik taraf sepenuhnya.  Penghawa dingin,  lantai marmar baru dan penambahan escalator menjadi tumpuan utama. Beberapa pengkritik percaya bahawa proses modenisasi yang terlalu drastik dengan imej yang moden ini telah memusnahkan rekaan asal pada bangunan yang lama. - petikan wiki



Ramses Station
Sementara menunggu keretapi sampai untuk ke Alexandria, kami dapat menyaksikan gelagat penumpang-penumpang yang terlambat sampai ke stesen dan berlari mengejar keretapi yang sedang bergerak. Ada yang melempar beg dahulu ke dalam gerabak sambil mengejar keretapi. Mujur dapat naik! Waahh.. mashaallah .. kagum dengan kepantasan mereka berlari dan melompat ke dalam gerabak. Makcik-makcik pun tidak ketinggalan berlari. Hebatnya! Alah bisa tegal biasa. Namun tiada video dapat dirakamkan. Memang leka dengan adegan yang "tidak mudah dilupakan" ini. 

Kali ini kami mengambil tiket sehala kelas 1  keretapi ekspres berhawa dingin dari Kaherah ke Alexandria yang berharga kira-kira LE 50.



Hello Alexandria 
Pengalaman "tidak mudah dilupakan" lagi  ialah apabila turun menjejakkan kaki ke stesen keretapi Alexandria tiba-tiba saya merasakan lantai tempat berpijak tidak rata, terpelecok dan nyaris tersembam ke lantai. Allah hu akbar! Namun Alexandria meraikan kami dengan cuaca yang begitu cerah menyebabkan hilanglah perasaan sedikit malu dilihat orang .. hahaha.. takde sapa pun yang kesah jatuh bangun kau di situ pun makcik. Mujurlah tidak ada apa-apa dan boleh bangun semula. Alhamdulillah.

Jarak di antara Cairo ke Alexandria adalah lebih kurang 208 km. Ia hanya mengambil masa kira-kira 2 jam di atas keretapi berbanding dengan lebih dari 3 jam dengan menaiki kereta dengan laluan jalan raya yang tidak berapa bagus. Lebih cepat sampai ke tujuan adalah lebih baik.

Alexandria (Arab: الإسكندرية al-Iskandariah) adalah bandar kedua terbesar di dunia (3.5 juta orang), menjadi pelabuhan terbesar dan menjadi pintu utama negara ke Lautan Mediterranean di zaman gemilangnya ketika itu. 

Hari ini Alexandria yang terletak di pinggir laut Mesir kelihatan kotor berdebu dengan populasi yang melebihi 5 juta orang. Namun statusnya sebagai pelabuhan terkemuka di Mesir masih menjadi tumpuan para ahli perniagaan, dan pelancong masih berduyun ke pesisiran pantainya di musim panas. Bangunan-bangunannya memerlukan cat yang baru, sejarah kuno dan moden ada di mana-mana jika anda mengamati persekitarannya. Taman gaya Perancis dan tanda jalan Perancis yang masih bertahan warisan Napoleon adalah di antara  tinggalan negara yang pernah menjajah Alexandria. Beberapa restoran dan kafe Greece/Yunani yang masih ada lagi menguasai suasana dan budaya setempat. - petikan wiki.

Setelah menikmati nasi ayam di dewan makan dan menumpangkan bagasi di rumah MARA, kami pun memulakan perjalanan ke Citadel of Qaitbay atau Fort of Qaitbay. Kubu pertahanan yang sangat terkenal dibina pada abad ke 14 sebagai benteng dari serangan empayar Ottoman. Ia juga sebenarnya dibina di atas tapak tinggalan rumah api Pharos yang merupakan salah satu keajaiban dunia "ancient wonder" ketika itu, namun rumah api itu telah musnah hancur di badai gempa bumi yang berlaku beberapa kali di zamannya. 

Kita cerita di entri lain .. simpan dulu kisahnya bagaimana kami juga cuba ditipu oleh si penarik kereta kuda dengan tambang yang sangat mahal dan menyebabkan pergaduhan mulut yang sengit di antara kaklong dengannya.  Namun berjaya dileraikan oleh pegawai keselamatan yang berbangsa Arab yang bekerja di rumah MARA dan pandai berbahasa Melayu dan hensem juga..eh eh.. Tunggu...😓


Citadel of Qaitbay
Syurga makanan laut katanya
Penggendali kereta kuda membawa kami berpusing mengelilingi bandar ini sambil bercerita mengenai sejarah lama dan tempat-tempat yang menarik. Awas.. Jangan mudah terpedaya!  Semoga Allah swt senantiasa memelihara kita.. aaminn.



Setelah seharian di Alexandria, kami kembali semula mengambil bagasi yang disimpan di rumah MARA dan bersiap untuk pulang  ke Tanta dengan menaiki teksi menuju ke stesen keretapi. Ketika itu stesen keretapi Alexandria agak lengang dengan deretan keretapi yang berhenti untuk diselenggarakan dan dibersihkan di dalamnya. Hari pun sudah menjelang malam. Kejadian "tidak mudah dilupakan" terjadi lagi. 

Keretapi menuju ke Tanta adalah di antara beberapa keretapi yang sedang divacuum dan dibersihkan. Ayah telah terlebih dahulu menaiki keretapi yang tidak bergerak itu mungkin amat letih mencari tempat  untuk duduk, sementara kami masih mundar-mandir sambil berswafoto di luar kerana jadual perjalanan lambat lagi katanya. 

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena keretapi yang dinaiki ayah bergerak laju. Kami agak kaget menjangka kami akan ditinggalkan keretapi, maka berlari menuju ke segerombolan pekerja keretapi yang sedang makan untuk bertanya benarkah itu keretapi kami. Mereka dengan tenang berkata tidak mengapa kerana keretapi sedang diselenggara dan hanya membuat U-Turn.   Wahh.. leganya.

Malangnya ayah di dalam keretapi agak panik, terkejut dan telah terjun dari keretapi yang sedang bergerak dengan membawa beg-beg sekali keluar. Allah hu akbar! Bayangkan... Mujurlah tiada apa-apa yang terjadi kepada ayah. Alhamdulillah. Stunt man from Klang gamaknya...  ðŸ˜…

Hening
Down memory lane - Egyptian Railways
Akhirnya keretapi memulakan perjalanan.
Fii Amanillah
It's no joke! Again.. we also missed our stop station while still on board in the train. 

Kejadian "tidak mudah dilupakan" terjadi lagi. Setiap perjalanan itu pasti ada dugaan dan pancarobanya. Setiap air yang jernih itu jangan disangka tiada buaya eh..eh.. Akibat keletihan seharian meronda di Alexandria, apabila dapat duduk di kerusi empuk hmm.. apalagi.. saya pun tertidur dengan lenanya. Saya tersedar ketika keretapi telah sampai ke stesen Tanta. Tergesa-gesa dikejutkan encik suami sambil menolak beg untuk keluar dari keretapi. 

Tiba-tiba dengan lajunya keretapi terus bergerak tanpa sempat kami turun di stesen keretapi Tanta. Allah hu akbar! Kami cuma berjaya berdiri di gerabak yang menjadi penghubung di antara gerabak ke gerabak. Kerusi di dalam seharusnya telah diduduki oleh penumpang lain yang naik dari stesen di Tanta tadi. Dua orang askar anak muda Arab namun berpakaian biasa berusaha bersungguh menolong kami dengan berlari memberitahu pegawai keretapi untuk menghentikan keretapi tetapi apakan daya😭 

Stesen yang paling terdekat ialah di stesen keretapi Banha. Di situlah kami harus turun nanti. Menggigil berdiri dalam perjalanan yang mujurlah agak pendek dengan ditemani bunyi kederasan dan gegaran keretapi di kesejukan malam mencecah 5 deg C. 

Peta menunjukkan laluan keretapi dari Alexandria menuju ke Tanta, namun kami telah terlajak ke Banha dan terpaksa membeli tiket sambil menunggu keretapi lain untuk berpatah balik ke Tanta semula.
Beku menunggu
Menunggu dengan sabar di stesen keretapi Banha yang kecil itu. Cuaca sejuk amat mengigit-gigit. Kepala hampir naik tepu. Jangan main-main dengan cuaca sejuk di sana. Post Master bertanya khabar dengan setiap penumpang yang menunggu. Kisah kami terlambat turun dari keretapi menjadi topik seketika. 


Keretapi biasa  
Kami menunggu keretapi biasa. Mujur bukan keretapi yang boleh membawa ayam dan pelbagai barangan muatan seperti sayur dan buah-buahan. Kaklong bercerita terdapat keretapi biasa yang digunakan jauh menuju ke kawasan pendalaman di mana terletaknya kampung-kampung kecil. Kadang-kadang ayam hidup menjadi "teman tapi mesra" di sebelah tempat duduk kita. Barulah happening kata kau😎 Namun pelancong agak jarang menaiki keretapi seperti ini kerana pelancong akan menuju ke tempat-tempat yang lebih popular.

Hampir lewat tengah malam barulah keretapi kami tiba. Seorang makcik bersama suami dan anak lelakinya berkali-kali mengingatkan kami supaya segera berdiri dari tempat duduk apabila keretapi akan tiba di stesen Tanta. Mereka akan memberi isyarat bila masanya kami dikehendaki untuk berdiri. Sungguh baik betul. Sungguh! Mata saya tidak memandang ke tempat lain sudahnya selain menatap kelibat makcik itu sambil menunggu isyarat darinya untuk berdiri.. hahaha.. sabar sajelah! Jazakillah 💓💓

Menunggu kebab pula setelah sampai di Tanta. Kelaparan di dalam kedinginan malam.
Moral of the story : Set loceng jam telefon bimbit untuk mengejutkan kita dari tidur dalam jangkamasa 1 jam sahaja di dalam keretapi supaya tidak terbabas bermimpi bagai. Pastikan kita bersiap-sedia untuk berdiri awal ketika keretapi akan menghampiri stesen. Pastikan bila keretapi berhenti kita sudah berdiri di pintu untuk keluar. Keretapi akan bergerak semula dalam jangkamasa 3-5 minit sahaja. Pastikan kita fasih berbahasa Arab pasar untuk bertekak jika ada apa-apa yang terjadi. Dan pastikan kita masih bertenaga untuk memulakan perjalanan ke Turki pula selepas ini. Hahaha... moral ya jangan tak moral!  Alhamdulillah.

Egypt Museum di Kaherah. Berkesempatan menziarahi mayat-mayat "The Mummies" di entri yang lain pula ya.
Hingga berjumpa lagi di entri yang lain. 
Ma`asalamah ..wa ilãl liqà

"Blind Eyes See Better Than Blind Hearts"
-Arabic Proverb

Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?