Egypt : Tanta - Ahlan Wa Sahlan Ya Ummi Ya Abbi


Assalam


Masih di bulan Syawal 1438H yang mulia.  Maaf jika tangan tidak sempat bersalam, setidaknya ada kata-kata yang masih boleh diucapkan.


"Taqabballahu Minna Wa Minkum.. shiyaamana wa shiyamakum. Kullu’aamin wa antum bi khoir, Minal Aidil Wal Faizin, Mohon Maaf Lahir & Batin dari Hj Azlan dan saya sekeluarga".

Wahh.. lama sungguh tak bersiaran.  Bukan berhabuk bersawang lagi.  Nyaris tak mereput sahaja blog saya yang berlama tanpa entri ini.  Rindu untuk menyapa memberi khabar berita. Senyap sepi seolah menjauhkan diri kata mereka.  Apa nak dikata.  Mujur keinginan untuk bercerita masih ada. .. alhamdulillah.

Berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanta di bumi para anbiya` di Mesir sempena graduasi kaklong pada pertengahan bulan Februari yang lalu merupakan memori indah penuh rasa bersalah namun bukan pula menjadi penyesalan di dada.

Sedikit gambar-gambar sempena hari graduasi sebagai intro dahulu.  Tahniah kepada kaklong dan sahabatnya semua yang gigih berusaha dengan cemerlang selama 6 tahun di perantauan dan tanpa izin-Nya jua tidaklah kami berdua ke sana untuk meraikannya.  Alhamdulillah.




Top 10


Kami tiba di Cairo International Airport di terminal 2 setelah transit dahulu di Istanbul dari KLIA dengan perasaan bahagia berbunga-bunga pada mulanya.  Ahlan Wa Sahlan Ya Ummi Ya Abbi!


Dengan menaiki tremco yang disewa oleh kaklong pergi dan balik ke Tanta semula, merupakan satu perjalanan yang membuka minda dan mata emak seperti baru celik dari terserkup di bawah tempurung kelapa.  Walaupun sering mendengar dan membaca cerita tentang gelodak dan gelojak di bumi Timur Tengah akibat peperangan tetapi mudah leka tidak menyangka bagaimana keadaan persekitaran yang sebenarnya di sana.   

Ingatkah ketika evakuasi membawa pulang pelajar-pelajar kita ke tanah air ketika krisis Mesir melanda pada tahun 2011?  Ketika itu kaklong baru di tahun pertama.  Betapa payahnya mereka dibawa  dari tempat yang jauh menuju ke lapangan terbang dengan sekatan ketat tentera dan juga ketakutan  dari  ancaman serangan.  Kerajaan mengerahkan pesawat TUDM Charlie, MAS dan Air Asia yang berusaha bertungkus lumus supaya dapat membawa mereka keluar dari Mesir secepat mungkin walaupun terpaksa transit di Jeddah, Arab Saudi dahulu selama seminggu sebelum pulang ke tanahair.  Terimakasih juga kepada pihak Tabung Haji di sana yang menyediakan tempat berteduh dan makanan kepada pelajar-pelajar ini.  Ada juga pelajar yang tidak pulang semula ke Mesir selepas itu.  Betapa payah dan sukarnya untuk menggenggam segulung ijazah dari Timur Tengah.   Well.. not everything is going to be a bed of roses.
Di pintu utama untuk naik ke rumah sewa kaklong di tingkat empat.  Tangganya yang kecil dan curam untuk naik dan turun di dalam, namun emak gagahkan jua.  Rumah yang telah dikosongkan kerana kesemua penghuninya seramai lima orang akan pulang ke tanahair a.k.a "back for good" kata mat saleh.  Kami kesana hanya untuk menemankan kaklong membuat "special clearance" dan menerima "farewell visit" dari student junior sebelum balik,  seterusnya akan ke Turki pula.  
Tanta sebuah bandar pinggiran yang besar terletak 94km jauhnya dari utara Kaherah dan 130km jauhnya di selatan Alexandria.  Bandar lama tanpa prasarana membangun yang sangat sibuk dan hingar bingar dengan pengangkutan seperti kereta kayu di tarik keldai mahupun kuda bersaing seiringan dengan teksi sapu yang hampir tercabut pintunya dan kereta-kereta biasa, tremco, bas serta lori seiring merentasi menggunakan jalanraya yang sama separa tar berlubang-lubang di sana sini tanpa pembaikpulihan di selubungi debu jalan dan asap kenderaan.  Dulu ketika ke Jakarta,  suasana macet dengan bunyi hon kereta bertalu-talu di jalanan merupakan mimpi buruk tetapi ternyata keadaan di Tanta  pula menjadikan mimpi saya lebih buruk + ngeri walaupun belum masuk dalam kategori mimpi nampak hantu.   Nak melintas jalan pun merupakan satu acara yang menyesakkan dada.  Tapi alah bisa tegal biasa bagi anak-anak yang telah lama di sini.  

Terpikir di benak seketika, bertahun-tahun kami tinggalkan anak sulong kami di tempat yang seperti ini.  Dulu membayangkan Tanta ialah sebuah bandar pinggiran yang bersih dalam suasana perkampungan jauh dari kesibukan Kaherah.   Tidak membayangkan tempat yang nampak kasar dan kotor ini.  Tanpa keselamatan yang total.  Bila-bila masa sahaja akan berlaku pemberontakan.  Pengeboman.  Rompakan.  Kecurian.  Malah untuk mengambil gambar kawasan persekitaran pun saya takut untuk menggunakan telefon pintar.  Takut dari disambar ketika alpa.  Negara yang kucar kacir pentadbirannya akibat dari pemerintahan yang diguling.  Kini ia ditadbir oleh pihak tentera.  Negara yang susah menjadikan rakyat sengsara. Ya.. kami meninggalkan anak-anak kami di sini dengan semua itu.  Seorang ibu pernah berkata, jika tahu keadaan sedemikian rupa dari awal lagi mungkin sudah di bawa balik anaknya.  Wallah hu a`lam.  

Astaghfirullah hal azim.   Hasbunallahu wa ni'mal wakeel ni'mal maula wa ni'man naseer.  

Memori indah penuh rasa bersalah namun bukan pula menjadi penyesalan di dada.  Bagi kaklong ini semua hanyalah sebahagian dari pengalaman untuk mematang dan membentuk dirinya sendiri untuk menjadi kuat. Mungkin bila ilmu dan pengalaman penuh di dada, mereka sudah boleh berkhidmat di mana sahaja.   Demi agama dan tanahair.  Inshaa Allah.  Ibarat sebiji kentang di campak merata di dalam tanah mahupun di dalam tong, senang bertunas.. hidup subur meluas melata.  Aamiin....


Masjid Ahmad Al-Badawi merupakan masjid yang terbesar di selatan bandar Tanta, Mesir. Ia merupakan masjid sufi dan menempatkan makam Ahmad Al Badawi.  Di kawasan Awal Bhar ini, di belakang masjid  terdapat lorong dan deretan rumah kedai dan pasar ala suasana di Chiangrai, Thailand.  Pelbagai perniagaan kain baju, beg dan segala dengan harga yang berpatutan jika pandai tawar menawar. 

Meraikan kami di Olivium dengan masakan Lebanon.

Hotel Arafa tempat penginapan kami di Tanta.

Memulakan perjalanan ke Cairo/Kaherah.
Gempaknya bergaya di kepala keretapi.. 


Sekian dahulu untuk entri kali ini.  Inshaa Allah .. di lain masa dengan cerita kisah benar "Tragedi Keretapi kelas pertama dan keretapi ayam di Mesir".  Sure semua tak sabar nak bacakan.. hahaha.. sabar! 

Semua yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu semuanya dari saya. Sekian.  

Fii amaanillah