Sesuatu yang tidak dapat di jual beli

Alhamdulillah juga kerana setelah sekian lama akhirnya kali ini saya berkesempatan memenuhi tuntutan untuk memberi kepada sesama manusia yang memerlukan.  Memberi sesuatu yang tidak dapat dijual beli.  Walau pun dalam usia yang kini telah meningkat menghampiri ke separuh abad 3 tahun lagi , Allah swt masih memberi kesihatan dan kekuatan yang baik kepada saya untuk sama-sama dapat berkongsi apa yang kita ada.  Apa yang kita ada bukanlah hak kita tetapi hanyalah milik Allah swt semata-mata.  



Persahabatan, keluarga, persaudaraan bahkan harga diri juga memanglah tidak dapat di jual beli.  Tiba-tiba perasaan sedikit hiba mengenangkan sahabat baik saya yang telah 6 tahun  meninggalkan kami semua.   Kami telah bersahabat selama lebih 17 tahun dan  berkhidmat dalam  jabatan yang sama di tempat kerja malah meja kami juga saling berdekatan.  Bayangkan seharian selama 9 jam kadang-kadang lebih lama bila "overtime",  setiap hari bersama 5-6 hari seminggu kiranya seperti "ceritaku ceritamu" .  Bayangkan betapa akrabnya kami.


Arwah meninggal dunia dalam usia yang  masih muda dan masih belum  berumah tangga.  Ini di akibatkan oleh sakit kanser perut yang hanya diketahui setelah tahap ke empat.   Allahyarhamah adalah penderma darah "tegar" yang pernah saya kenali.  Walau pun arwah telah tiada di dunia ini, namun darah yang didermakan saban tahun masih mengalir dalam diri insan-insan yang menerima bantuannya.  Semoga Allah swt mengampunkan dosa-dosanya dan  di tempatkan di sisi orang-orang yang beriman.. amin.. sesungguhnya menjelang kehadiran Ramadhan dan akhir-akhir ini saya seringkali mengenang arwah.  Mengingati saat-saat pilu, hiba dan bahagia serta berkongsi kisah hidupnya yang penuh dengan suka dan duka.  Mengharap kesinambungan pendermaan ini seolah-olah meneruskan aktiviti wajib arwah saban tahun.   Hmm.. menitis juga airmata tika menaip di keheningan tengah malam buta diiringi lagu  "law kana bainana" dari siaran akhir TV Al Hijrah.. oh sudah.. Astaghfirullah.. hentikan mainan emosi ini.  Setiap yang hidup pasti akan pergi..  saya redho dengan ketentuan ini.  Al fatihah untuk arwah  Hajjah Noorsimah bt Atan dan juga arwah abah  Tuan Hj Ayat b Piee.   Rindu sangat pada mereka... semoga arwah berdua tenang di sana begitu jua dengan muslimin dan muslimat yang lain yang telah lama meninggalkan alam fana ini.  Semoga mereka di tempatkan di sisi orang-orang yang beriman.. amin...

" Menyia-nyiakan waktu (luang) lebih berbahaya daripada kematian; kerana sesungguhnya menyia-nyiakan waktu (luang) memutuskanmu dari Allah swt dan negeri akhirat, sedangkan kematian memutuskan dari dunia dan penduduknya.  " ~ Ibnul Qayyim


Kini kempen-kempen menderma darah amat giat dilakukan oleh hospital-hospital kerajaan mahupun swasta. Kita tidak perlu ke hospital lagi untuk menderma darah.  Pusat-pusat membeli-belah terkenal  di Klang kini mengadakan ruang supaya kempen yang berguna seperti ini dapat di adakan untuk mengutip sebanyak mana darah untuk mengatasi masalah kekurangan darah di hospital.  Apa tunggu lagi.. seawal usia 18 tahun hingga 64 tahun kita masih boleh terus menderma.   Daripada membuang masa melepak di tempat-tempat begini lebih baik jika kita sudi menderma.

berwajah ceria sebagai galakan kepada anak-anak bila mereka besar nanti
mengalir laju


Alhamdulillah.. selesai sudah 350ml
Mendengar cerita dari suami tentang seorang sahabat baik juga yang kini telah mendaftar sebagai penyumbang organ.  Mungkin bagi kita "orang biasa" , agak ngeri dan takut bila mendengar apatah lagi memikirkan apakah kita berkemampuan dari segi emosi yang bakal mempengaruhi minda untuk berbuat demikian.  Namun apabila mengingatkan tentang nasib pesakit-pesakit di luar sana yang masih ramai menunggu organ-organ untuk di dermakan kepada mereka sebagai penyambung kehidupan, kita akan merasa sedih dan sesal kerana kita masih tidak berani untuk menyumbangkan apa-apa.  Fikir dan renungkanlah jika kita berada di tempat mereka atau ahli keluarga kita yang amat memerlukan organ seperti itu.  Sanggupkah kita?  Walau apa pun kesedaran harus di war-warkan..  apa yang kita ada, bukan milik kita tetapi semuanya adalah hak Allah swt.

Ahad lepas mendapat berita yang amat mengejutkan juga.  Seorang jiran di kawasan kediaman kami yang lama,  telah disahkan mengidap penyakit kanser.  MasyaAllah.. subhaAllah.. Allah Maha Besar... seorang kakak "superwoman" yang masih bekerja, yang sentiasa nampak sihat wal afiat, ceria, baru sahaja meraikan perkahwinan anak lelakinya dan bak kata omputih "full of life".. siapa sangka?  Kami berkesempatan menziarahi beliau yang kini telah mula menjalani rawatan kimoterapi kali kedua.  Sesungguhnya Allah swt itu amat sayangkan hambaNya dengan menurunkan ujian dan cabaran untuk setiap hambaNya juga.  Sesungguhnya setiap penyakit itu adalah penghapus kepada segala salah dan silap yang pernah atau mungkin pernah kita lakukan secara sedar atau tidak.  Semoga kak Hajjah Maznah jiran kami itu akan sembuh seperti sediakala.. amin..   Untuk sesiapa yang mengenali beliau jika ingin menziarah, rumahnya di belakang masjid An-Nur, Saujana Utama. Sg Buloh.  Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan untuk sesama insan di dunia dan di akhirat.. amin. 

Firman Allah swt :

" Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka " ~ (Al Baqarah : 201)