Nostalgia di Roman Bath, UK



Pride and Prejudice ialah salah sebuah novel klasik karya Jane Austen. Ia mengisahkan tentang rasa harga diri yang tinggi (Pride) dan prasangka (Prejudice) yang menyebabkan dua orang insan yang sepatutnya saling menyayangi tetapi disebabkan oleh perasaan ini mengakibatkan mereka terasing dan terpisah jauh. Apa yang menarik tentang novel yang diterbitkan pada tahun 1813 ini ialah ia telah banyak kali di adaptasikan dalam bentuk drama dan filem. Ketika berada di England pada tahun 1995, kegilaanku terhadap novel ini bermula apabila British Broadcasting Corporation (BBC) sebuah rangkaian television di London, seperti RTM kalau di Malaysia telah sekali lagi menerbitkan drama bersiri ini selama 300 jam waktu siarannya. Dan yang paling menariknya di sebabkan penangan drama ini, aku juga telah membeli novelnya dalam bentuk paperback. Paperback ni kiranya buku yang harganya lebih murah kerana kulit buku nya yang nipis dengan kualiti kertas yang juga nampak murah berbanding dengan buku hard cover yang tidak mudah patah dan tidak mudah rosak.

Novel "Pride and Prejudice" karya Jane Austen

Aku tidak ingat hari apa ia ditayangkan di sana tetapi kiranya kegilaan masa itu seperti kegilaan peminat-peminat di sini dengan adaptasi drama bersiri " Nora Elena" gamaknya. Apatah lagi ketika itu akulah sang pencinta novel di bawah kategori "tegar"..... masih ku ingat lagi semasa muda remaja dengan basikal copperku, aku akan ke Perpustakaan Awam di KKB menghabiskan masa terluang membaca di sana. Kemudian bila melanjutkan pelajaran ke ITM di tahun 1986, mula menyewa buku-buku dan novel-novel berbahasa Inggeris di sebuah pustaka buku (yang tidak ku ingat nama kedainya lagi) yang berada di sepanjang jalan laluanku dari Pudu Raya ke Hentian Bas Klang. Tiap-tiap minggu aku menyewa dengan kadar yang sangat murah ketika itu iaitu RM1 untuk 5 buah buku nipis. Wah... "addiction" tahap gaban. Bagai orang mengantuk di sorongkan bantal, apabila tiba di England dengan kegilaan jualan secara "car boot sale" di sana, aku boleh mendapatkan seberapa banyak buku dan novel dengan harga yang teramat murah. Mujurlah suamiku juga mempunyai hobi yang sama mengumpul buku-buku tetapi cuma berlainan genre kepada yang lebih ilmiah.


Colin Firth dan Jennifer Ehle hero dan heroin  drama bersiri ini yang di terbitkan pada tahun 1995
Novel "Pride and Prejudice" ini berlatarbelakangkan keadaan dan suasana cara hidup orang-orang British di era kurun ke 19. Dengan bergaun labuh dan kembang bagi wanita-wanita golongan bangsawan dan lelakinya kemas segak dengan baju kotnya menambahkan klasiknya drama ini. Ia mengisahkan watak utama iaitu Elizabeth Bennet, seorang gadis yang "out spoken" yang berhadapan dengan isu-isu semasa seperti masalah moral, pelajaran, didikan awal dan juga perkahwinan. Ini di tambah lagi dengan aura heronya "Mr Darcy" yang dilakonkan oleh Colin Firth dan heroinnya yang dilakon oleh Jennifer Ehle amatlah menerujakan. Kedua-duanya adalah pelakon-pelakon yang sungguh baik lakonannya . Dan inilah menjadikan aku begitu bersemangat untuk ke tempat ini. Bath ialah tempat dimana Jane Austen, penulis tersohor ini pernah tinggal pada tahun 1801 hingga 1806. Di Bath jugalah merupakan di mana kebanyakan penggambaran drama-drama dan filem dari adaptasi novelnya di adakan. Ingin merasai suasana yang berlaku di kurun itu dimana terbayang di mata, karekter Lizzie Bennet dan Mr Darcy nya.. jom kita singgah di Bath ya ... Walaubagaimana pun jika berkesempatan, dapat membaca atau menonton drama bersiri keluaran 1995 sekali lagi ia adalah merupakan satu bonus. The project Gutenberg ebook ada menyediakan novel ini untuk dibaca tanpa perlu membeli . Inilah keistimewaan dunia alam maya ini. Semuanya menunggu dihujung jari sahaja.. alhamdulillah..
The Royal Crescent di Bath


Bath ialah sebuah bandar yang diisytiharkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia pada tahun 1987 kerana keunikannya yang tersendiri. Bandar ini mendapat namanya "Bath" bersempena dengan kedudukannya yang terletak di kawasan sumber air panas. Ia terkenal dengan "Roman Bath" kerana orang-orang Romlah yang mula membangunkan kota ini dengan tempat pemandian yang terkenal yang dikenali dengan nama Latinnya "Aquae Sullis" yang bermaksud "Air Sullis" sejak abad ke 60 selepas Masihi , 20 tahun sebelum kedatangannya ke Britain. Kemudiannya bandar ini menjadi sangat terkenal sebagai bandar air panas dengan begitu banyak tempat mandi air panas serta kuil-kuil telah di dirikan di era Georgian. Kemudian ia semakin berkembang dengan terbinanya bangunan-bangunan bersejarah dimana bahan binaannya di ambil dari batu-batan dari Bath sendiri ~ diterjemahkan dari petikan wikipedia.

The Roman Bath

Kami sekeluarga ke Bath dengan menaiki kenderaan sendiri kerana ini amat memudahkan lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua orang anak yang masih kecil. Segala bekalan makanan seperti biasa telah ku siapkan. Begitu juga dengan periuk nasi ajaibku.. hehehe... tiada periuk nasi bak kata menantu kakak iparku, Hawa.. APTB... Apa pun tak boleh! Bath dan kawasan persekitarannya memang menyajikan banyak perkara untuk di lihat dan dibuat. Masya Allah... Subhana Allah... Oleh kerana ia telah dinobatkan sebagai Warisan Dunia, tidak hairanlah bangunan-bangunan di sini adalah antara yang terbaik dan tercantik rekaan senibinanya di Eropah. Di antaranya ialah The Royal Crescent, the Circus (bukan sarkis bela binatang tu), Jambatan Pulteney serta rangkaian muzium-muzium serta tarikan utama seperti Roman Bath itu sendiri, Jane Austen Centre dan juga Thermae Bath Spa. Pemilik bangunan di sini juga tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan sebarang perubahan pada struktur bangunan. Disebabkan ia telah menjadi bandar warisan dunia, mereka tidak boleh mengubah warna kediaman kedai kepada warna lain selain dari warna yang telah ditetapkan oleh PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). Bath juga mempunyai pusat membeli-belah dan berbagai lagi aktiviti menarik seperti berbasikal, menaiki bot malah juga boleh menaiki belon panas yang di adakan untuk pelancong yang datang ke sana.


Air panas yang datang dari sumber mata air dari bawah tanah ini memanglah sangat mujarab. Ia dikatakan dapat menyembuhkan berbagai jenis penyakit. Di antaranya ialah penyakit tulang dan penyakit kulit. Ketika itu rakyat dari seluruh pelusuk England berpusu-pusu datang ke Bath untuk merawat penyakit menggunakan air yang dikatakan sebagai air penyembuh itu. Senarai penyakit yang dapat disembuhkan melalui secara mandian dan minuman ini menjadi semakin panjang dan ini menambahkan kepopularan Bath di mata dunia. Sesungguhnya setiap kejadian itu adalah dari izin dan ketentuan dari Allah s.w.t belaka. Bath juga menjadi tempat yang eksklusif kerana mendapat kunjungan dari raja dan ratu England serta kerabat di raja yang lain. Ia bertambah popular apabila pada tahun 1688 seorang Ratu juga pernah melahirkan anak dengan begitu mudah setelah mandi air panas di sini. Pernah juga membaca satu cerita mengenai seorang ratu yang tidak pernah mandi tetapi sentiasa nampak muda dan cantik jelita. Ini adalah kerana baginda sering datang ke Bath dan cuma membasuh mukanya dengan air panas untuk kelihatan muda remaja. Tetapi apabila baginda meninggal dunia barulah rakyat tahu disebalik wajah yang muda jelita, badannya telah teruk dimamah usia, Sepatutnya baginda perlu mandi selalu tetapi almaklumlah suhu dan cuaca yang begitu sejuk disana mungkin menjadi halangan kepada baginda untuk mandi. Dengan kata lain "malas mandi".. hmmm... Mungkin ini hanyalah satu mitos untuk menggalakkan industri pelancongan di Bath. Wallah hu alam.. 

Setelah usia kian menginjak sedewasa ini, keupayaanku untuk menghabiskan pembacaan dengan buku-buku kegemaranku agak lambat dan lembap. Mungkin kerana dengan tanggungjawab terhadap urusan rumahtangga yang terlampau banyak berbanding ketika aku berkerjaya tetap di luar dulu dimana aku masih boleh mencuri masa untuk membaca. Tiada lagi novel-novel romantik mengisi mindaku.

Tiada lagi novel-novel picisan dan karya-karya merapu dalam beg bimbitku. Kini aku membaca buku-buku lebih kepada buku untuk dikongsi bersama keluarga. Muhammad Al Fateh, The Glorious of Saidina Ali, Umar Abdul Aziz, Mustapha Kamal Ataturk adalah diantara novel-novel kegemaran anak-anakku. Saling berkongsi dan bercerita sesama sendiri dan ini amat mengeratkan lagi hubungan kami anak beranak. 

Dengan kemudahan internet dan perkhidmatan e-book secara online sekarang, membaca bukan lagi tertumpu di perpustakaan sahaja. Sambil menunggu anak keluar dari sekolah kita masih boleh membaca terutama dengan naskah terjemahan ayat Al Quran yang mudah dibawa kemana sahaja tanpa perlu mengambil wudu'. InsyaAllah.. bersua lagi di entri lain .. mungkin ke City of Nottingham pula bertemu dengan Robin Hood.. wink ..wink.. insya Allah dan terima kasih.. selamat membaca!
Rose Garden

Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?