Cambodia : Kembara Nur Iman Merentas Sempadan


Assalam

Pertama kali merayakan Aidil Adha tanpa encik suami di sisi pada hari raya korban yang lalu.  

Memanglah hiba bunyinya.   Ada dengar tak bunyi hiba? huhuhu..  Mengada-ngadalah tu. Bukankah sering ditinggal-tinggalkan.  Encik suami memang selalu berkelana merata dalam  urusan kerja-kerja rasminya mahupun kerja-kerja sukarelanya.  

Kali ini berpeluang membantu dan melakukan sendiri ibadah korban di Kemboja atau Cambodia adalah umpama mimpi yang sudah menjadi kenyataan baginya. Alhamdulillah..

Begitu teruja sekali penduduk-penduduk Kg Ampil yang terdiri dari warga Melayu Champa menanti dan meraikan kedatangan para sukarelawan dalam misi kembara merentasi sempadan ini.
Encik suami bersama sebahagian dari sukarelawan yang menyertai misi ibadah korban di Kemboja
Ikan patin bakar (standard Jerantut mari) dicicah bersama air asam di antara juadah  makanan tengahari yang disediakan.  


Kembara Nur Iman merentasi sempadan yang di adakan pada 3 - 7hb Oktober 2014.  Sebanyak 153 ekor lembu dan 7 ekor kambing untuk ibadah korban dan akikah yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia telah selesai dilaksanakan di Kg Ampil di dalam wilayah Cham di Kemboja.  Sila layari video oleh Malaysian Gazette ini.  Mashaa Allah...

Penulisan entri ini adalah untuk berkongsi pengalaman yang di alami oleh encik suami sepanjang misinya ke sana dan juga buat semua umat Islam di Malaysia yang berkemampuan supaya sudi untuk bersama-sama mengerjakan ibadah korban di Kemboja di tahun-tahun mendatang.  Terimakasih kepada yang telah turut serta melaksanakan ibadah korban di sini pada tahun ini.  Inshaa Allah hasrat di hati teringin juga untuk sama-sama meraikan ibadah korban di sana. 

Kenapa ibadah korban ini perlu dilakukan di Kemboja? Mereka ini memang tidak berkemampuan dan hidup makan pagi kais pagi, makan petang kais petang. Menunggu untuk menikmati sajian daging setahun sekali dari ibadah korban ini umpama seperti mendapat hidangan lembu "wagyu" bagi mereka.  Sangat berharga.   Harga daging terlampau mahal kerana harga cukai jualan yang amat tinggi. Cukai jualan tidak dikenakan jika lembu dibeli untuk kenduri kahwin sahaja.  

Lembu yang dipelihara tidak boleh dijual kerana untuk dijual dengan harga yang tinggi tiada siapa yang mampu membelinya.  Penduduk kampung hanya menunggu setahun sekali apabila rakyat Malaysia yang perihatin yang sanggup melakukan ibadah korban di sini dengan membeli binatang peliharaan mereka. 

Sumber ekonomi mereka memang tidak ada jika hanya duduk di kampung kerana tiada kepakaran untuk menjana pendapatan mereka.  Mereka memang perlukan bantuan kerana tiada bantuan dari kerajaan sendiri apatah lagi bagi mereka yang beragama Islam.  

Di bawah pemerintahan Perdana Menteri Hun Sen yang mengamalkan kebebasan beragama, mereka telah membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk melakukan ibadah korban di sana. Ini sedikit sebanyak telah membantu ekonomi mereka dengan kemasukan pelancong-pelancong ini.


Encik suami bersama-sama menyembelih lembu korban

Seramai lebih dari 2000 penduduk kampung dari kampung-kampung yang berdekatan turut datang ke Kg Ampil ini untuk mendapatkan daging korban.

Selain dari itu para sukarelawan ini juga turut membantu penduduk kampung mendapatkan air bersih dengan membuat sistem pam untuk mengalirkan air ke rumah-rumah dari perigi atau telaga yang dikorek.  

Khidmat kesihatan juga di adakan dan di antaranya pembersihan kutu di atas kepala anak-anak di sana dengan membasuh rambut mereka dengan shampu kutu.   Anak-anak yang teruja untuk belajar tetapi tiada sistem persekolahan rendah dan menengah yang disediakan di kampung selain dari sistem pondok.   Sekolah-sekolah yang ada amat jauh dari kampung dan ini amat menyukarkan. 

Sukarelawan juga menganjurkan aktiviti mewarna yang mendapat sambutan yang menggalakkan oleh kanak-kanak di sini sebagai pengisian masa lapang mereka di sana.

Kaum wanita juga di ajar cara-cara untuk menjahit manik pada tudung atau selendang untuk menambahkan sumber pendapatan mereka. 

Tarbiah agama untuk orang-orang dewasa dan kanak-kanak juga giat diadakan.  Kuliah subuh dan maghrib adalah satu kemestian oleh para ustaz yang bertauliah. 
Kuliah agama bersama penduduk kampung
Sajian di pagi raya
Jemaah sedang mendengar kuliah agama
Menikmati kenduri bersama penduduk kampung. Apa yang menarik ialah apabila banyak kenduri kahwin di adakan pada hari raya korban ini kerana ketika ini daging korban dapat di agihkan sebagai hidangan jamuan untuk kenduri kahwin.

Verdict :  Katanya ~ 'Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'.  Kenapa perlu mengorbankan beratus-ratus ekor lembu di sana sedangkan di tempat kita pun hanya lima, enam ekor sahaja setiap kariah.  Tidak cukup untuk fakir miskin di sini. Astaghfirullah hal azim.. 

Moral of the story :  Rakyat asing yang datang ke negara kita yang kaya raya dan aman makmur ini juga boleh menjadi kaya.  Mengapakah rakyat sendiri di Malaysia yang miskin masih meminta-minta sedangkan banyak saluran untuk meminta bantuan. Rezeki ada di mana-mana di bumi kita yang bertuah ini kerana kebanyakan negeri-negeri di Malaysia ini telah maju. 

Kisah benar :  Berpagi-pagian menuju ke surau untuk solat Aidil Adha bersama abang dan ms little. Mujurlah ada kaklong dan kakak yang dapat menemankan wan di rumah. Alhamdulillah..

Mulanya terasa seperti berada di negara asing kerana ramainya jemaah yang datang awal ke surau bukanlah orang-orang di kejiranan kami. Mereka bersama-sama menunggu untuk solat dan takbir di hari raya.  Dikhabarkan mereka juga ada menyediakan seekor lembu untuk bersama-sama mengerjakan ibadah korban walaupun bukan di surau kami.  

Renung-renungkanlah.. rakyat asing yang bekerja di Malaysia dapat menunaikan ibadah korban ini. Betapa makmurnya negara kita yang dapat memberikan rezeki halal kepada mereka yang bekerja di sini.  Wallah hu a'lam..




Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?