Pokok ajaibku dari Ghana akhirnya berbuah juga..



Pokok ajaib.. 
Alhamdulillah.. minggu pertama Ramadhan akhirnya berjaya juga dilalui.  Syukur alhamdulillah Allah swt mengurniakan  cuaca yang amat baik sekali.  Tidak panas terik sangat dan diselang-selikan dengan dentuman guruh mengundang gerimis dan  hujan renyai.   Kain baju di jemuran kering seadanya dan laman nuraniku di penuhi dengan kuntuman bunga-bungaan mengembang mekar.  

Alhamdulillah Ramadhan pertama kami di sudahi dengan berbuka beramai-ramai di rumah emak mertuaku di Cheras bersama bubur lambuk "special" kak Ton yang  tersangat sedap mengalahkan bubur lambuk Kg Baru  dan bersolat tarawih di sana. 

Alhamdulillah juga Ramadhan  kedua, kami sempat juga berbuka di rumah emak di KKB dengan murtabak bazaar Batang Kali serta bersolat tarawih di surau sana.  Pecutan kereta suami yang mengalahkan Michael Schumacher meredah malam akhirnya sempat juga kami tiba di asrama INTEC kak ngah di seksyen 18 sebelum pukul 12 tengah malam.  Selamat bersahur kak ngah dengan bekalan nasi putih dan sambal tempoyak udang  emak itu.

Sambal tempoyak udang + petai
Alhamdulillah juga buat pertama kalinya "pokok ajaib" pemberian abang iparku telah mengeluarkan buah sulongnya seolah-olah menyambut dan meraikan kedatangan 1 Ramadhan dengan penuh gumbira.  Hampir 3 tahun lamanya kami menanamnya di dalam pasu.  Berbunga sepanjang tahun tetapi amat payah untuk lekat menjadi buah, cuma bunga-bunganya sahaja gugur bertaburan menyembah bumi.  

Pokok ajaib ini sebenarnya di bawa ke Malaysia 4-5 tahun dahulu dan berasal dari Ghana.  Mula dikenali sejak tahun 1725.  Lamanya..  Wah.." oversea" mari lagi.  Comelkan buahnya... alhamdulillah walaupun sebiji sahaja tetapi sudah cukup " make my day!".. sukalah tu..  Pokok ajaib ini dikatakan berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi, menjadi anti oksida dan membantu merawat kanser - dari hasil penyelidikan University of Scranton USA, University of Athens, Harvard Sc of Public Health dan University of Kelo di Tokyo.  Petikan dari Laman Web Jabatan Pertanian Negeri Kedah.

Inilah rupanya buah pokok ajaib.. sepatutnya ia berbuah bergugusan
Pada mulanya Hairan binti Ajaib juga kenapalah pokok ini di beri nama Ajaib dan bukannya Hairan..heeee.  Setelah pokoknya berbuah barulah rasa teruja ingin tahu apakah nama sebenar pokok buah ini.  Menurut cik Google, nama botaninya ialah Synsepalum Dulcificum dan sebenarnya ia berasal dari Afrika Barat.  Pokok ini juga disebut oleh omputih sebagai buah Magic Berry atau Miraculous Berry.  Sesetengah orang kita pula menamakannya sebagai pokok 1000 manis selain dari pokok Ajaib.  

Kak Ani, kakak saya berkata pokok ini apabila di makan akan membuatkan minuman yang tawar dan makanan lain yang pahit dan masam  sebelum memakannya akan menjadi manis.  Contohnya minum air tawar tetapi selepas memakan buah ini, air tawar akan terasa manis.  Wallah hu alam.. belum mencuba lagi kerana buahnya hanya sebiji sahaja.  Tidak sampai hati untuk memetiknya.

Sempena berkat Ramadhan, pertama kali berbuah dan seakan  biji kopi
Rupa-rupanya pokok Ajaib ini mempunyai banyak khasiat dan keistimewaannya terutama dari segi perubatan.  Berbagai penyakit "Top 5" seperti kencing manis, malaria, buasir malah batuk dan demam juga dikatakan dapat dirawat menggunakan buah ini.  

Kandungan gula semulajadi yang dihasilkan oleh buah ini juga amat berguna untuk membantu pesakit kencing manis.  Walau bagaimanapun  perlulah mendapatkan prikripsi dari doktor  yang bertauliah sebelum diambil berterusan untuk melihat keberkesanannya.  InsyaAllah... setiap sesuatu yang diciptakan oleh Allah swt pastilah dicipta untuk memberikan manfaat kepada sesama insan dan seharusnya kita mensyukuri akan setiap kurniaanNya itu.
Delima berbuah sepanjang tahun
Begitu juga dengan buah delima yang senantiasa menghasilkan buah yang tidak putus-putus di dahannya yang kurus dan ramping itu.  Walaupun buah-buahnya tidak sesedap dan tidak semenjadi rasanya seperti buah-buah delima yang berasal dari Timur Tengah tetapi saya amat bersyukur kerana buah-buahnya sentiasa menyeri laman nurani kami.  Saya percaya buah yang mempunyai khasiat perubatan sejak 8000 tahun lalu ini pasti akan menjadi manis  merah dan sedap serta akan menjadi rebutan anak-anak saya kelak satu hari nanti.  InsyaAllah... mungkin akan melakukan penambahbaikan dari segi penggunaan baja.

Nabi Muhammad saw bersabda, " Tidak ada delima yang tidak mempunyai buah dari delima syurga di dalamnya" (HR Abu Nu'aim)

Rasulullah bersabda lagi, " Buah delima dan kulitnya memperkuatkan pencernaan di perut." (HR Abu Nu'aim dan Al Jauzi) 


Setiap kali Ibnu Abas mendapati buah delima, dia akan memakannya.  Orang-orang menanyakan kepadanya mengapa dia melakukan hal itu, dan dia menjawab, "Aku benar-benar percaya bahwa tak ada satu pun buah delima di dunia ini yang tidak mengandungi satu  biji dari salah satu biji dari syurga.  Barangkali biji ini adalah yang dari syurga itu " (kisah sahabat) - petikan diambil dari info MelayuKini

Kulitnya selalu diserang oleh serangga bermaharajalela
Sejenis pohon tanaman berbunga yang biasa saya panggil pokok Gardenia atau lebih dikenali sebagai pokok bunga chempaka.  Baunya yang kuat dan harum memang sentiasa mengekori  kami sepanjang malam.  Alhamdulillah.. walaupun ia pernah berbunga tetapi kali ini ia memecahkan rekod sejarahnya yang tersendiri di laman nurani saya.   Kali ini ia berbunga pada satu-satu masa sebanyak 7-8 kuntum sekali berbunga.  Waduh... sejarah besar buk!  Kiranya hati saya berbunga-bunga sepanjang minggu ini kerana pokok Gardenia saya ini memang amat payah untuk menanamnya dan susah juga untuk mengeluarkan bunga mahupun daunnya juga.

Kuntuman Gardenia harum mekar

kudup mula mengembang

Gardenia gugur  akan berubah kekuningan warnanya

Sedikit untuk di kongsi bersama :

Ramadhan Kareem bermaksud bulan yang penuh dengan kemurahan dan keberkatan kepada seluruh umat Islam.  Oleh itu apabila orang menyebut "Ramadhan Kareem" hendaklah kita sambut dengan perkataan "Allahu Akram" yang membawa maksud sesungguhnya Allah swt lagi Maha Pemurah... 

Translation :

Ramadan Kareem means it's a generous month, in which there are so many blessings for Muslim so the reply is Allahu Akram.. which means Allah swt is much more generous 

S  E  L  A  M  A  T    B  E  R  B  U  K  A    
P  U  A  S  A


Comments

  1. banyaknya info.. tak tau nak komen yang mana.. he he

    buah ajaib tu macam buah kopi je...

    ReplyDelete
  2. hahaha.. inilah namanya memblog mengejar masa.. hehehe.. mana2 info yg berguna tu boleh kita kongsi bersama.. terimakasih kerana sudi membaca.. amat menghargainya (dan jgn lupa tekan laman iklan ya.. nk nambah pendapatan..heee..)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?