Turkey: Merhaba İstanbul Part 1

Assalam

Apa khabar semua?  Semoga sihat dan gembira menjalani kehidupan seharian dengan baik.  Hanya Allah swt sahaja tempat untuk kita mengadu.  Kembalilah kepada-Nya.  InshaaAllah hidup akan lebih tenteram. Banyakkan bersabar dan lebihkan berusaha. 😘 
"Good health and good sense are two of life's greatest blessings." - Publilius Syrus.

Lama sudah hendak menaip tentang perjalanan kami ke Istanbul.  Moga Allah swt mempermudahkannya.  Aminnnn. 
"Travel brings power and love back into our life"-J.Rumi
Bacalah novel tentang "Sultan Muhammad al-Fateh – Penakluk Konstantinopel" yang ditulis oleh Abdul Latip Talib dahulu sebelum anda menjejakkan kaki ke Turki.  

Setelah kerajaan Uthmaniyyah atau Ottoman menawan Konstantinople, nama bandar ini telah ditukar menjadi Islambul yang kini disebut sebagai Istanbul.


Kami ke Turki tanpa menggunakan travel agent.  Semua itinerary dilakukan oleh kaklong sendiri kerana beliau pernah bercuti ke Turki sebelum ini. Kami dari Kaherah ke Istanbul manakala kakngah pula dari KLIA transit pula di Dubai.  Namun seperti dijanjikan kami bertemu di Istanbul airport.



Sebenarnya flight kami sebelum ke Kaherah telah transit dahulu di Istanbul.  Lebih 10 jam dalam flight dengan hanya tidur-tidur ayam dan asyik menonton movie silih berganti apabila dapat turun keluar dan bertukar flight lain yang lebih kecil adalah satu kegembiraan.  

Video salji turun
Ditambah pula ketibaan kami disambut oleh lebatnya salji yang turun secara tiba-tiba setelah keluar dari feeder bus.  Subhanallah.. dapat juga merasai kedinginan salji yang putih itu setelah lebih 20 tahun.  Mashaa Allah.  Precious moments!  That just made my day! ❄️⛄️

Kawalan keselamatan dan pemeriksaan di Istanbul Atatürk Airport memanglah tersangat ketat.  Apatah lagi ketika itu baru sahaja terjadi peristiwa cubaan rampasan kuasa di Turki.  
Istanbul dipisahkan oleh Selat Bosphorus  kepada dua bahagian. Turki terletak di antara dua benua iaitu benua Asia dan Eropah. Pelancong-pelancong selalunya akan melawat ke sebelah bahagian Eropah sahaja dan tidak ke sebelah Asia. 
Istanbul di sebelah Eropah terbahagi kepada dua bahagian iaitu bandar lama dimana adanya Masjid Biru, Hagia Sophia, Grand Bazaar dsb dan satu lagi daerah baru dimana adanya Taksim Square, pusat membeli-belah yang moden dsb.

Masjid Sultan Ahmed (Sultan Ahmed Camii) 
Buatlah checklist ✔︎ ke tempat-tempat yang menarik di Istanbul seperti :- 
  • Masjid Sultan Ahmed - Masjid Biru yang gah dengan 6 buah menara.
  • Hagia Sophia atau Aya Sofia - Muzium Byzantine Basilica.
  • Topkapi Palace - Kompleks istana yang bersejarah di era Uthmaniyyah.
  • Basilica Cistern 542 AD -yang menyimpan bekalan air kepada Istanbul.
  • Grand Bazaar - Pasar tertutup yang menjual pelbagai barangan yang terbesar di dunia.
  • Selat Bosphorus yang cantik dengan menaiki cruise  melihat pemandangan sekeliling.
  • Spice Bazaar - Pasar tertutup yang menjual pelbagai rempah-ratus.
  • Taksim Square - Pusat membeli-belah dan mempunyai tugu Mustafa Kemal Ataturk.
  • Istiklal Avenue - Pusat membeli-belah.
  • Masjid Suleymaniye.
  • Hippodrome of Constantinople
  • Masjid Sultan Eyüp.
  • Little Hagia Sophia.
  • Panorama Tarih Mukezi 1453.
  • Istanbul Photography Museum.
  • Galata Tower - 67 meter tower.
  • Masjid Al Fatih dan pelbagai masjid dan muzium yang lain.

Barulah "Discover Istanbul.. " katanya.







Masjid Sultan Ahmed ini juga dikenali sebagai Masjid Biru kerana terdapat jubin-jubin biru yang menghiasi dinding di bahagian dalamnya dan tingkap-tingkapnya yang cantik berwarna-warni dari stained glass. Ia dibina di antara tahun 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Sultan Ahmed 1.





Masjid ini berfungsi sebagai masjid biasa dimana setiap lima waktu solat akan dipenuhi dengan jemaah yang tidak pernah lupa datang untuk bersujud kepada-Nya. Ramai pelancong asing yang datang untuk melawat masjid ini. Terdapat halangan/garisan tempat pelancong berdiri untuk tidak masuk dan menganggu ruang solat.

Visitors stay behind this line


 


Berlatarbelakangkan Masjid Biru



Berlatarbelakangkan Hagia Sophia

Hagia Sophia atau dipanggil juga Aya Sofia pula merupakan bangunan teragung dan tercantik di dunia kerana senibinanya.  Asalnya dibina sebagai sebuah gereja bagi penganut Kristian Ortodoks pada 537M tetapi kemudian menjadi Roman Catholic Catheral pada 1200-an sebelum bertukar menjadi sebuah masjid apabila ditakluk oleh Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453. Kemudian Kerajaan Turki telah menukarkannya menjadi sebuah muzium pada tahun 1935 -wiki.







Hagia Sophia yang gah ini hanya mempunyai dua tingkat di mana setiap tingkatnya berada dalam jarak yang tinggi. Tiada tangga di sediakan tetapi ia menggunakan sistem ramp seperti mendaki ke atas semasa naik dan menurun jalannya untuk turun. Ini memudahkan untuk yang datang berkerusi roda. Jauh juga perjalanannya berpusing-pusing untuk naik ke atas dan turun ke bawah di bawah sinar samar-samar lampu yang kelam. Jalan naik dan turun adalah berbeza.
Bahagian di tingkat atas ini di namakan "Empress Lodge" kerana ketika menjadi gereja, kaum wanita tidak dibenarkan untuk beribadat bersama kaum lelaki.  Maharani atau Empress hanya dibenarkan berada di tingkat atas melihat ke bawah untuk acara keramaian. Wallah hu a`lam. 
Hiasan di siling.  Mashaa Allah.







Lukisan-lukisan pada jubin asal yang lama di dinding dan siling semasa menjadi gereja dibaikpulih semula kerana ketika ia menjadi masjid di zaman Sultan Muhammad Al Fatih, segala lukisan-lukisan potret Emperor/Empress, Virgin Mary, Jesus Christ, malaikat dsb yang dilukis oleh kepercayaan agama Kristian telah ditampal dengan plaster dan dicat semula. Sejak itu proses baik-pulih telah berjalan tidak henti-henti.  Wallah hu a`lam.




Mihrab pada Hagia Sophia ini senget 6 darjah kerana ia dibina mengadap ke Jerusalem bukan ke Mekah kerana pembinaan awalnya adalah sebuah gereja.  Kedudukan Mekah dan Jerusalem berbeza jaraknya.  Wallah hu a`lam.

Tulisan khat dengan nama Allah swt, Nabi Muhammad saw, dan empat Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta nama cucunda kesayangan Rasulullah iaitu Hassan dan Hussin masih jelas tertera di tiang-tiang seperti ketika ia menjadi masjid dahulu.



Bekas air dari marmar yang digunakan untuk mengisi air dan air sarbat pada hari-hari keramaian. Terdapat pili air untuk memudahkan air keluar. 




Pemandangan di bahagian luar Hagia Sophia
Hagia Sophia ini terletak bertentangan dengan Masjid Biru dan mengambil masa 5-10 minit berjalan kaki sahaja diantara keduanya.  Senibina dan suasana yang hampir sama membuatkan saya agak keliru untuk membezakannya.  Jika ada gambar-gambar yang tertera dengan nama tempat yang salah, diharap dapat dimaafkan.  Mommy is also confuse sis!




Kucing adalah makhluk kesayangan Nabi Muhammad saw dan juga semua pencinta kucing.  Jadi tidak hairanlah jika merata-rata terdapat banyak kucing jalanan di sini.  Tidak ada bau najis yang busuk mungkin kerana sentiasa dibersihkan dan udara yang sejuk meneutralkan bau agaknya.  

Sentiasa sahaja ada makanan kucing di letakkan oleh hamba Allah yang baik hati.  Alhamdulillah.  Katanya kucing-kucing jalanan ini telah divaksin dan senantiasa diberi makan oleh pemilik restoren.  Dan mereka bebas berkeliaran di masjid-masjid di Istanbul.  Subhanallah. 
Gli

Jangan lupa checklist ✔️ kucing gebu yang bernama Gli yang pandai berposing dan sentiasa berkeliaran di dalam muzium.  Seekor kucing hitam juga sentiasa mengekori pelawat-pelawat yang datang ke Hagia Sophia.
Kucing-kucing jalanan di Kucuk Aya Sofia.


Kucing yang nampak gah tapi garang ini dijumpai di Al Fatih Sultan Camii.  Muka eksen sangat.  Geramnya rasa nak bawa balik. 

Ada yang nak ikut ayah balik ke Klang..

Hippodrome, sebuah kawasan lapang di Sultanahmet yang terletak di antara Masjid Biru dan Hagia Sophia pada asalnya ialah tempat perlumbaan kereta kuda (chariots). Terdapat pelbagai cerita di Hippodrome ini. Di antaranya pembunuhan lebih 30,000 orang beramai-ramai secara tipu daya oleh Maharaja ke atas rakyat yang menentang baginda. Allah hu Akbar. Untuk menghilangkan rasa bersalah dan menebus dosanya, maka baginda mengarahkan pembinaan Hagia Sophia. Wallah hu a`lam.


"The German Fountain" adalah hadiah dari Kaiser Wilhelm II sempena lawatannya ke Istanbul pada tahun 1898. Binaan air pancut itu dibuat di Jerman dan diangkut sekeping-sekeping ke Hippodrome ini - wiki




Melalui Booking.com,  kaklong  membuat tempahan di Apartment Melia Suites dan juga telah meminta disediakan pengangkutan untuk mengambil kami dari airport terus ke tempat penginapan.  Senangkan.. tak payah nak melilau mencari teksi bagai dengan beg-beg besar lagi.  (Cuma melilau jugalah nak mencari kakngah kat airport mulanya..airport arrival besar kot 😓😁) 

Dalam perjalanan dari airport ke tempat penginapan di Istanbul.
Melia Suites ini terletak lebih kurang 10-15 minit sahaja jika berjalan kaki turun ke Masjid Sultan Ahmed.  Hari-hari nak solat dan melawat ke masjid pun boleh.  

Namun terdapat juga surau kecil berdekatan untuk solat di kawasan perumahan.  Kena rajin berjalan-jalan untuk mencari.  Bukan selalu kita sampai ke Istanbul.  Di Turki masjid dipanggil Camii tetapi disebut sebagai Jamii.  Sementara mescid atau mesjid pula adalah untuk surau.  Wallah hu a`lam.
Terdapat juga mini market dan kedai-kedai cenderahati serta banyak restoran halal di sekitar apartment kami.    Perhentian teksi terletak berdekatan juga.  Kami akan memasak di waktu pagi untuk hidangan sarapan yang berat.  Makan di luar bila keluar berjalan dan tapau take-away sahaja bila pulang menjelang malam.  Kami juga ada membawa sambal cili giling garing dan sambal bilis kering sebagai penyedap tekak kerana makanan di sini tidak pedas.
Video di dalam Apartment 
Ruang tamu untuk menonton TV.  Siaran TV di sini tidak mempunyai sarikata.  Semua rancangan TV yang berbahasa Inggeris pula telah siap sedia di alih bahasa ke dalam bahasa Turki.  Aduhai!

Dapur yang selesa untuk memasak
Jika tidak cukup periuk untuk memasak gulai, periuk extra boleh di ambil di pejabatnya di tingkat bawah.

Simple dish. Perut kenyang senang hati.


Tapau or take away- Turki traditional rice, mince meat + egg, aubergine, button mushroom soup and meat + cheese on top of mashed potato. Fuhh!

Laluan tram di tengah jalan




Early dinner.  Kumpir ala potato bake, Iskandar Kebab dan Kebab Mix yang menyelerakan.




Jangan lupa untuk menikmati jus dari buah delima yang segar ini. Harganya ialah 7 lira segelas.  Apple tea dan limonata (lemonade) juga menjadi pilihan pelancong.
Grand Bazaar ✔️.  Kami berada di pintu masuk no 7.  Sebenarnya terlalu banyak pintu masuk dan keluar di Grand Bazaar ini.  Tawakal sahajalah bila sudah pandai masuk tu pandai-pandailah pula untuk mencari jalan keluar.


Grand Bazaar merupakan antara pasar tertutup yang terbesar di dunia.  Mempunyai 16 lorong dan lebih kurang 3,000 kedai-kedai di dalamnya.  Pastikan anda kuat untuk berjalan.

Best Buy
Kami berulang alik dua kali ke Grand Bazaar ini di dalam misi pencarian sedikit barangan untuk dibawa pulang. Satu hari tak sempat cover lorong-lorongnya.  Macamlah banyak sangat yang hendak dibeli. Beli-belah tingkap/window shopping saja katanya.  Berhati-hatilah jangan tertipu dan menawarlah barangan dengan harga sebaiknya. 

Namun untuk penggemar tudung Turki, harga tudung-tudung di Bursa adalah lebih murah dari Istanbul.  Jika anda merancang perjalanan ke Bursa tidak payahlah membeli di Grand Bazaar.  Namun jika bertujuan untuk membeli tudung lalu ke Busra adalah tidak munasabah kerana tempatnya yang jauh dari Istanbul.  Pi mai pi mai tang tu sama juga ongkosnya nanti.
Kemudian checklist ✔️ ke Spice Bazaar  pula.  Berdekatan dengan Spice Bazaar  terdapat sebuah masjid yang dinamakan New Mosque (disebut Yeni Camii dalam Bahasa Turki) yang dibina pada tahun 1660.  Anda boleh singgah untuk bersolat dulu sebelum meneruskan membeli-belah di Spice Bazaar.  Toilet terletak di kawasan luar dan harus membayar untuk masuk dan berjalan jauh sedikit untuk mengambil wuduk.  



Spice Bazaar dahulunya dikenali sebagai Egyptian Market kerana dibina menggunakan hasil kutipan cukai dari wilayah Mesir di zaman Uthmaniyyah.  Ia yang terletak di Eminönü ini khusus menjual pelbagai jenis rempah-ratus, Turkish delights dan manisan-manisan lain, barang kemas, buah kering dan juga kekacang dan kopi. 

Pasar tanaman yang menjual benih tanaman pokok dan bunga-bunga terletak di luar bazar. Geramnya melihat bulbs bunga-bunga tulip yang banyak beraneka warna.  Mengimbau kenangan tinggal di UK menanam tulip di halaman rumah. 

Pastikan anda membawa hand luggage yang kecil untuk membeli-belah kerana agak mudah untuk meletak barangan yang dibeli dengan menarik beg dari menjinjing segala plastik beg sehingga merah jemari tangan. Tips.

Di hadapan  İstanbul Üniversitesi (Istanbul University) 1933 di main gate Beyazid Square
Jika ada yang ingin berkunjung ke Masjid Eyub Sultan, anda boleh juga menziarahi pusara pelajar Malaysia Allahyarham Ahmad Ammar  yang disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan Cami.    Arwah meninggal dunia kerana dilanggar ambulan ketika melintas jalan di Istanbul pada 2 November 2013 ketika berusia 20 tahun. - sumber dari Sinar Harian 3 Disember 2013.  Al Fatihah.

Masjid Fatih pula merupakan salah satu contoh terbesar senibina Turki-Islam di Istanbul dan mewakili tahap berpengaruh dalam perkembangan senibinaTurki klasik.


Wasiat di dalam Bahasa Turki
Jika berkesempatan singgahlah ke Masjid Fatih ini, bacalah  empat wasiat (vakfiyesi) penting dari Sultan Al Fatih yang terpampang di pintu masuk sebelah kiri masjid ini di dalam bahasa Turki.  Inilah isi kandungan wasiatnya :-
  1. Sepuluh orang al-Hafiz harus ditugaskan untuk membaca Al-Quran setiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat
  2. Dua puluh orang solih harus ditugaskan untuk mengkhatamkan Al-Quran tiap hari ba’da solat Subuh.
  3. Dua puluh orang solih harus ditugaskan untuk membaca 70,000 kalimat tauhid tiap hari ba’da solat Subuh.
  4. Sepuluh orang harus ditugaskan untuk membaca 10,000 solawat ke atas Nabi Muhammad SAW ba’da solat Subuh.





Di atas ialah suasana di dalam Masjid Fatih.







Makam Sultan Muhammad Al Fatih sedang direnovasi.

Makam isteri dan anak perempuannya
Kami sebenarnya ke Masjid Fatih untuk menziarahi makam Sultan Muhammad Al Fatih.  Malangnya makamnya sedang menjalani proses penambahbaikan dan kami hanya dapat menziarahi makam isteri dan anak perempuannya sahaja secara dekat.  Hanya doa semoga roh mereka yang telah meninggal dunia di tempatkan bersama para syuhada.  Aminn. 


Bandar lama di Istanbul ini sebenarnya dibina di atas tujuh buah bukit.   Cuba bayangkan bandar yang sesak dengan bangunan di bina di atas bukit.  Jalan-jalannya tentulah tinggi, begitu sempit dan sangat curam. Untuk berjalan kaki di kawasan kediaman dan persekitarannya sahaja cukup membuatkan kita begitu cuak takut tak pasal-pasal kita yang berjalan kaki melanggar kereta yang lalu mahupun kereta yang diparking.  Pemandu-pemandu di sini memang sangat cekap "alah bisa tegal biasa" apatah lagi jika berselisih dengan kereta lain di selekoh dan lorong-lorong yang sempit.  














Berjalan-jalan di persekitaran kawasan perumahan
Mak dan kaklong.
Dulu dan Sekarang 
1995-2017
#Cardiff-Istanbul
Panjangnya entri kali ini.  InshaaAllah.  Part 2 akan bersambung sebentar lagi..  

Güle Güle 👋🏽👋🏽 

Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?