Cambodia : Kembara Hafsah di Bumi កម្ពុជា Kampuchea

Assalam


"Berbahagialah dia yang makan dari keringatnya sendiri,  bersuka kerana usahanya sendiri dan maju kerana pengalamannya sendiri" - Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia


Kami berdua bertolak ke Kemboja pada petang Aidil Adha 10hb Zulhijjah 1438H, bersamaan dengan 1 September 2017M yang lalu dengan membawa amanah besar dari rakan dan keluarga.  Tahun ini merupakan tahun yang keempat dan kali ketiga encik suami menjalankan ibadah korban dan aqiqah yang diwakilkan secara bersendirian di sana.  

Di hantar oleh anak-anak semula ke KLIA2 setelah baru sahaja sebelumnya, pada 31 Ogos 2017 lalu  menjemput kami yang baru "touch-down" dari percutian di luar negara.   

Terimakasih  kesayangan semua.. 😘

Hello Phnom Penh!  

Kami disambut oleh ustaz bersama anak dan isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.  Keadaan lalu lintas yang sesak di petang hari dengan warga kota berlumba-lumba untuk pulang setelah seharian bekerja menjadi halwa mata kami.   Di Kemboja tidak seperti Malaysia kerana laluan jalan rayanya berada di sebelah kanan.  Pemanduan pula di sebelah kiri membuatkan saya sebagai penumpang di belakang menjadi sedikit keliru 😰  

Walaupun berada di tengah ibu kota Phnom Penh, pemandu kenderaan dan motosikal kebanyakannya tidak mengikut arahan lampu trafik.  Siapa yang berani akan mara meredah laluan dan ada yang lebih berani pula melawan arus menyebabkan kaki saya asyik menekan brek sahaja di sepanjang perjalanan.  

Ramai tanpa topi keledar dan pak polisi pun seolah-olah tidak berbuat apa-apa.  Ustaz yang masih muda dengan kereta yang baru dibeli pula, nampak cuak tidak berpuas hati.   Beliau tidak habis-habis membuat "live" komen seperti pengulas sukan di TV9 pula gamaknya.  Haruslah saya akan terus menekan brek sambil ketawa tanpa suara.. huhu 😱



Kami kemudiannya berhenti untuk makan malam di bandar Phnom Penh dan kemudiannya singgah untuk solat di masjid berdekatan sebelum meneruskan perjalanan  ke perkampungan Cham.  

Line internet di restoren ini tersangat power.  Assalam dari Phnom Penh 😍






Bergambar di hadapan Masjid Al-Serkal  usai solat.  Masjid ini merupakan masjid yang terbesar di Phnom Penh, ibu negara Kemboja.  Ia merupakan hadiah dari keluarga Al-Serkal dari United Arab Emirates dan di buka pada tahun 1968.  Ia terletak di bahagian utara bandar ini berdekatan dengan tasik Boeung Kak yang telah kering airnya.   Bangunan masjid yang baru menggantikan bangunan yang lama ini juga ditaja oleh kerajaan UAE dan mula beroperasi semula pada tahun 2014 - sumber wiki.


Saya tersedar di dalam kegelapan malam bila kereta tiba-tiba berhenti kerana ustaz tersilap lorong untuk masuk ke kampungnya.  Ladang getah yang gelap gelita di sekeliling menjadikan dunia bertambah gelap bagi saya yang sememangnya rabun.  

Dengkuran encik suami di sisi yang kepenatan "jetlag" dari percutian yang panjang sebelum ini memecah kesunyian malam.  Cuba memejamkan mata semula untuk tidur bukanlah sesuatu yang mudah.  Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa selama 3 jam sahaja tetapi dengan pemanduan yang sentimental terasa berjam-jam tanpa noktah.


Jam 3 pagi mata saya masih terkebil-kebil di bilik yang gelap kelam ini.    Waktu di Malaysia adalah lebih awal 1 jam dari Kemboja.  Mengejutkan encik suami yang kedengaran bernafas sedikit kepayahan  sehingga merisaukan saya.  Tentu ada yang sedang mengusik.  Membayangkan yang buruk saja diingatan.  Jauh di ceruk kampung  jauh dari prasarana.  Bagaimana jika ada apa-apa yang terjadi.  Alhamdulillah...  Allah Maha Besar.  

Mujurlah ada tandas curah yang baru siap dibina untuk surau kampung ini.  Tangki air juga baru sahaja di bawa naik untuk menyalurkan air.
Pam air
Dalam kegelapan kami bangun untuk turun ke bilik air di surau yang terletak di sebelah rumah. Bilik airnya baru siap dibina, belum berpintu jauh sekali mempunyai selak pintu.   Ada sekeping papan yang hampir reput mudah di alih digunakan sebagai penutup pintu. Menadah baldi untuk mendapat air yang terpaksa di pam dahulu.  

Mengambil air solat  dalam gelap sebelum subuh.   Namun tanpa sengaja telah mengejutkan seisi rumah yang sedang nyenyak di buai mimpi.  Dan tidak lama kemudian, akhirnya laungan azan subuh berkumandang dari masjid yang terletak 200km dari rumah.



Usai solat subuh, kami dijemput oleh ibubapa mertua ustaz untuk minum pagi. Mereka mempunyai sebuah pondok kecil yang dijadikan kedai runcit dan menjadi warung juga untuk minum-minum di tepi rumah. Hidangan air teh   daun yang panas dan campuran air 3 in 1 sahaja menjadi menu air di sini. Jangan mengada-ngada nak mintak teh tarik atau caffè latte top up dengan whipped cream pulak ya!


Beramah mesra
Bapa mertua ustaz boleh berbahasa Melayu walau pun tidak berapa fasih kerana pernah tinggal di Malaysia selama 9 bulan. Sekurang-kurangnya dia memahami apa yang kami tuturkan. 

Selain bermenantukan ustaz seorang hafiz, seorang lagi anak lelakinya juga merupakan seorang hafiz dan masih meneruskan pengajiannya di sekolah pondok di Malaysia. Aidil Adha kali ini semuanya bercuti panjang untuk berkumpul bersama keluarga. Beruntungnya keluarga ini mempunyai saham akhirat yang tersangat bernilai walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Bermesra bersama alam katanya.  Kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan menikmati suasana perkampungan sementara menunggu penduduk menyiapkan binatang untuk dikorbankan.  

Encik suami bersama bapa mertua ustaz, tuan rumah yang berbesar hati menumpangkan kami tidur di rumahnya semalam.  Kami tidak menyewa hotel di luar kampung kerana tiba di tengah malam sedangkan ibadah korban akan dijalankan disebelah pagi.  Ini menjimatkan masa dari terpaksa berulang-alik.

Surau kecil yang dibina bersebelahan rumahnya 

Inai masih merah di jari.  Pengantin baru ini pulang ke kampung untuk bernikah.  Kemudian akan kembali semula ke Malaysia untuk bekerja.  Seronoknya kerana dapat bercakap Melayu dengan seseorang selain dari suami sendiri.

Ustaz dan penduduk kampung juga ada menanam pokok-pokok lada hitam di atas usahasama dengan dermawan yang berwakaf untuk kemaslahatan umat Islam di kampung itu.

Bersama ustaz muda yang berusia 25 tahun.  Telah dikurniakan dengan seorang anak lelaki.   Semoga Allah swt mengurniakan rahmat dan kebahagiaan serta  rumah tangga berkekalan yang dipenuhi dengan ketawa ceria berterusan dari anak-anak  dengan penuh kasih sayang.  Aaminn aminn ya rabbal alamin..

Bersiap sedia
Sembelihan pertama seekor kambing aqiqah untuk meraikan kelahiran seorang puteri bernama  Hafsah Mohd Faizal, cucunda ketiga kepada kak Siti Faridah.  Beliau ialah  kakak kepada encik suami.  Semoga cucunda Hafsah membesar dengan sempurna dan menjadi insan solehah kesayangan semua.  Namun kembara Hafsah di bumi Kemboja ini masih lagi belum berakhir.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Untuk anak laki-laki dua ekor kambing dan untuk anak perempuan satu ekor kambing.” (HR. Abu Dawud, an-Nasa’i, Ahmad dan disahihkan oleh syaikh al-Albani dalam Irwa’ : 1166).

Sinar mentari pagi meraikan kami

Ladang getah di kiri kanan
Masha Allah.. Abdullah Muhaimin yang comel dan cerdik, anak lelaki ustaz.

Ustaz mengajak kami untuk ke pasar Kampung Cham terletak lebih kurang 1 jam jauhnya perjalanan untuk bersarapan pagi dan membeli bahan keperluan untuk kenduri aqiqah Hafsah nanti.  Kali ini encik suami yang mengemudi kenderaan supaya cepat sampai kata ustaz.  Pemandu F1 katanya.  

Gerai makanan halal dan bersih.  
Ikan masin haruan dan ayam digoreng dengan hirisan bawang dan halia untuk mama Abdullah Muhaimin. 


Nasi ayam untuk kami. Hirisan jelatah betik muda berbeza dari kebiasaan timun dan tomato.  Tersangat sedap.  Alhamdulillah..

Dihadapan pasar Kampong Cham


Ikan haruan masin yang dikatakan sangat baik untuk mengubati luka dalaman

French Baguette untuk kenduri aqiqah.









Kami kemudiannya pulang semula ke kampung untuk melakukan ibadah korban.  Alhamdulillah.  Semuanya berjalan dengan baik dengan kerjasama penduduk kampung dan orang ramai.  Mereka mengagih-agihkan daging korban kepada penduduk islam setempat dan ada juga  lembu yang diagihkan kepada kampung bersebelahan.  

Terimakasih kepada semua yang telah mewakilkan kami untuk melakukan ibadah korban dan aqiqah di kampung ini. Moga amalan yang kita lakukan ini diterima oleh Allah swt.  Aaminn..

Kipas siling menggunakan cangkuk sahaja
Sudah lama tidak berkelambu seperti pengantin baru rasanya 😜
Selesai membersihkan diri sebelum masuk waktu zohor
Berlantaikan rotan.  Bilik tuan rumah ini sebenarnya berada  betul-betul di atas pangkin yang digunakan untuk makan dan berehat di bawah. 
Pemandangan di luar jendela
Pemandangan di luar menyaksikan tempat mandi tuan rumah yang berada di bawah.  

Kami pun mula berkemas untuk pulang ke Phnom Penh setelah misi hampir selesai.  Kenduri aqiqah Hafsah akan bermula selepas solat zohor.

Gulai kawah daging kambing untuk kenduri Hafsah telah siap di masak.  Ada yang mencadangkan saya memasak sup "Gear Box" atau "Stew Black Pepper"  sebagai alternatif..  wuuuu.. mak takde skill dapur kayu mek!  Itu je nak khabar.   

Dapur mereka terletak di bawah rumah sahaja.  Di atas rumah digunakan untuk ruang tamu dan tidur sahaja.  Cuma ada satu bilik sahaja.  Dan bilik inilah yang digunakan oleh kami untuk tidur.  Sangat berbesar hati di atas budi baik mereka meraikan tetamu yang datang.  Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalasnya.
Kambing juga telah siap di panggang.
Orang dapur makan dulu katanya
Kami dihidangkan dengan nasi dan roti untuk dimakan dengan gulai kawah
Daging panggang pula dicicah dengan air asam.
Isteri ustaz bersama abangnya seorang ustaz juga
Air asamnya mudah sahaja dibuat dari campuran limau nipis yang dibubuh lada hitam.  Perghhh!
Inilah dia ibu mertua ustaz.  Seorang wanita yang sangat kuat dan tabah.  Kami sebaya.  Di sebabkan beliau tidak pandai berbahasa Melayu mahupun Inggeris dan saya juga tidak pandai berbahasa Khmer mahupun Perancis, maka kami hanya menggunakan telepati sahaja dalam berbicara.  Iya ke? hahaha.. tentulah ber"sign language" kata kau.  Language is not a barrier because we all smile in the same language too.  Amboi.  Paham ke idok? 😉
Jagung rebus dari pasar Cham
Bergotong royong memotong roti untuk majlis kenduri nanti.  Di belakang itu ialah poster kumpulan Rabbani yang pernah datang ke Kemboja untuk konsert mereka.
Ada yang bertanya kenapa kami tidak memasak nasi untuk dihidangkan bersama gulai kawah.   Kemboja menjadi naungan Perancis pada tahun 1863, kemudian mencapai kemerdekaan pada tahun 1953.  Lamakan? Maka tidak hairanlah mengapa roti Perancis atau french baguette menjadi kegemaran rakyat di sana.  Di kedai roti tempohari, permintaan terhadap roti ini begitu tinggi sehingga kami terpaksa menunggu untuk membeli roti dalam jumlah yang banyak.    Setahun sekali makan daging  bersama roti Perancis.  Enak pak!





Menikmati hidangan yang disediakan di pekarangan surau.  Mangkuk-mangkuk kecil di pinjam dari rumah ke rumah untuk mencukupkan yang serba kekurangan.

Tinggal kenangan. Tangga yang begitu tinggi. 

Berat rasa hati untuk meninggalkan keluarga yang sangat berbudi ini dan penduduk kampung ini yang sangat merendah diri.  Thank you for the gracious hospitality while we were here.  Kalau ada sumur di ladang boleh kita menumpang mandi, jika ada umur yang panjang ..inshaa Allah kita berjumpa di kampung yang lain pula lagi.  

Soalan : Kenapa ibadah korban ini perlu dilakukan di Kemboja? Mereka ini memang tidak berkemampuan dan hidup makan pagi kais pagi, makan petang kais petang. Menunggu untuk menikmati sajian daging setahun sekali dari ibadah korban ini umpama seperti mendapat hidangan lembu "wagyu" bagi mereka. Sangat berharga. Harga daging terlampau mahal kerana harga cukai jualan yang amat tinggi. Cukai jualan tidak dikenakan jika lembu dibeli untuk kenduri kahwin sahaja.  Ini adalah petikan dari entri saya yang terdahulu bertajuk "Kembara Nur Iman Merentasi Sempadan."

Untuk yang ingin membaca pengalaman encik suami di Kemboja sebelum ini silalah ke link di bawah ini :-

http://touch-down-norehanayat.blogspot.my/2014/10/cambodia-kembara-nur-iman-merentasi.html

Setelah majlis berakhir, kami dihantar oleh ustaz keluar dari kampung untuk mengambil van di jalan besar di Tboung Khmum untuk pulang menuju ke Phnom Penh.
Menikmati air kelapa yang sangat enak di bawah
 pokok adalah satu  kemestian.
Kami tertidur kelelahan di dalam perjalanan selama 3 jam menuju Phnom Penh  dalam kepanasan van tanpa aircond.

Mee daging halal yang sangat enak.  Terasa cair di mulut akan lembut daging lembunya ditambah pula harumnya daun selasih di dalam supnya.
Restoren yang menjadi tumpuan orang Malaysia dan Singapura

Hotel kepunyaan rakyat Malaysia

Menaiki tuk tuk

Bergambar di hadapan Central Market atau lebih dikenali sebagai Russian Market



Anda boleh sahaja melancong ke Siem Reap dahulu sebelum menuju ke Phnom Penh seperti yang dilakukan oleh encik suami pada kunjungannya tahun lepas.  Jangan lepaskan peluang juga untuk melihat "the Killing Field" yang menjadi tarikan pelancong di sini.  

Kemboja terjebak di dalam kancah Perang Vietnam / Vietnam War yang menyebabkan bangkitnya Khmer Rouge yang merampas tampuk pemerintahan pada 1975 dan menjalankan pembasmian kaum yang paling dahsyat. Ekoran pencerobohan Vietnam, Khmer Rouge digulingkan dan digantikan dengan Republik Rakyat Kampuchea.  

Setelah bertahun-tahun terpencil, negara yang runtuh akibat perang ini disatukan semula dengan pemerintahan beraja pada 1993 dan menyaksikan pembangunan ekonomi yang begitu pesat, bangkit semula dari sisa-sisa peperangan yang membawa kemusnahan yang teruk kepada negara ini.




Kembara Hafsah sebenarnya telah berakhir apabila kami sampai di Phnom Penh dan misi seterusnya ialah kembara kami pula menuju ke Vietnam selepas ini.

Kami menaiki bas untuk merentas sempadan masuk ke Ho Chi Minh di Vietnam di dalam perjalanan yang sangat panjang mengambil masa selama 7 jam.  Penat wehh!

Ramai rakyat Malaysia juga seperti kami yang menuju ke Ho Chi Minh setelah melakukan ibadah korban di Kemboja.  Bas yang berhawa dingin serta mempunyai line internet dan akan berhenti di beberapa tempat untuk keselesaan penumpang.  
Hello Ho Chi Minh!
Malam minggu yang penuh sesak kerana penduduk Vietnam meraikan cuti hari pahlawan katanya.  Suasana di persekitaran hotel menjadi tersangat bising seolah-olah kita berada di dalam disko.
Dinner di Taj Mahal
Lunch di Serai Restoren
Brunch di Muslim Street


Misi saya sebenarnya adalah untuk bershopping sahaja di Muslim Street yang berdekatan dengan bangunan Ben Thanh Market dan juga tersasar ke Hong Kong Market yang terletak jauh dari situ.  Saya telah pernah ke Ho Chi Minh sebelum ini maka agenda lawatan tiada di dalam senarai kami kali ini.

Pelancong dinasihatkan untuk mengambil teksi dengan meminta pertolongan dari front desk hotel untuk mendapatkan khidmat teksi yang dipercayai seperti Vina Sun Taxi yang beroperasi setiap masa di sana untuk mengelakkan daripada tertipu.   

Kami di Ho Chi Minh selama 2 malam sahaja maka setelah misi selesai, marilah kita pulang.  Pulang marilah pulang marilah pulang bersama-sama.. 👋🏽

Cambodia
One man shall smile one day and say goodbye.
Two shall be left, two shall be left to die.
One man shall give his best advice.
Three men shall pay the price.
One man shall live, live to regret.
Four men shall meet the debt.
One man shall wake from terror to his bed.
Five men shall be dead.
-James Fenton


Penutup entri oleh puisi dari James Fenton yang berada di Kemboja pada tahun 1973 di kancah "Perang Vietnam".  Memori indah kembara Hafsah akan senantiasa tersemat dihati.  Semoga entri ini bermanfaat kepada semua.

ALLAH KNOWS BEST

Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?