Gili Trawangan : Tiada Kata Secantik Gambar



As salam

Ramai "Bule" yang datang bercuti sempena cuti hari Natal sekali gus menunggu untuk menyambut Tahun Baru 2016 yang bakal tiba ketika itu di Kuta. Ketika itu Kuta memang tersangat padat dengan pelancong.  Kami pula asyik menghabiskan masa di tempat yang sama.  Inilah akibatnya apabila keterujaan menghabiskan misi ke tempat-tempat menarik di Bali dalam waktu yang singkat sedangkan masih banyak lagi hari yang masih berbaki sebelum pulang ke Klang.

Tiada gambar secantik lukisan

Kade mencadangkan kami membuat lawatan ke Tiga Gili iaitu Gili Trawangan, Gili Air dan Gili Meno yang terletak di Barat Laut Lombok yang merupakan destinasi "trending" untuk dilawati kini. 
Tiga Gili
Kami dicadangkan untuk tidor di Gili Trawangan supaya dapat merasai suasana pulau yang belum tercemar dan juga melakukan aktiviti seperti snorkelling dan diving untuk melihat pelbagai kehidupan laut dan juga batu karang yang cantik terbentuk di dasarnya. Kemudian melompat bot pula untuk ke Gili Air dan Gili Meno. Alang-alang sudah sampai ke Indonesia katanya.  Nak bersurfing di Pantai Kuta memang taklah dalam "top ten list" kami.  Dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk terus ke Gili Trawangan sahaja tanpa singgah ke bandar Lombok dan juga tidak bermalam di sana kerana telah menginap di Kuta.

Gili Trawangan.  Biru mataku
A picture is worth a thousand words
Bali terletak lebih kurang 35km dari barat Gili Trawangan.  Gili Trawangan merupakan pulau  kecil yang paling besar dari kesemua gili di sana.  Gili dalam bahasa penduduk tempatan bermaksud pulau-pulau kecil.  Trawangan pula adalah dari perkataan terowong (tunnel) kerana adanya bukit yang mempunyai terowong sempena kependudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dahulu di situ. 

Membayar tambang bot laju yang telah ditempah di Kuta setibanya  di pelabuhan Padang Bai.

Begitu ramainya pelancong yang menunggu di pelabuhan ini.
Kami telah menaiki van panjang yang disewa bersama sekumpulan pelancong dari Eropah dalam perjalanan yang memakan masa lebih dari dua jam kerana pemandu van mengambil penumpang-penumpangnya dari pelbagai ceruk hotel dan resort di Kuta untuk ke pelabuhan Padang Bai yang sepatutnya mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja perjalanan. Bersama anak-anak muda "youngsters" yang gigih datang bercuti untuk ber"surfing" siap dengan surf board sekali bersama dengan luggage yang begitu banyak. Bercuti sehingga 1-2 bulan lamanya. Ada yang akan ke Lombok. Ada yang turun di Senggigi dan juga ke Tiga Gili.  Dua jam perjalanan dari Kuta sambil menaiki van yang terhentak-hentak membuatkan badan terasa kebas dan sengal. Kemudian setelah selesai membayar tiket bot laju kami dikehendaki untuk ke jeti.

Pengangkutan untuk sampai ke pulau-pulau ini hanyalah menggunakan jalan laut sahaja sama ada dengan menaiki feri atau pun bot laju. Pelancong dari Malaysia juga boleh terus ke Lombok dengan menaiki pesawat dan kemudian  menaiki bot untuk ke pulau-pulau ini juga.  Dari Bali juga memang ada penerbangan ke Lombok dan tidak perlulah menaiki van untuk ke pelabuhan seperti kami ini. Bot laju yang kami naiki ini akan berhenti dulu di Lombok menurunkan penumpang yang bercuti di sana kemudian barulah meneruskan perjalanan ke pulau-pulau yang lain.
Beginilah keadaan di dalam bot laju ini.   Penumpang penuh sesak dari dalam bot hinggalah ke atas deck bot. Kami yang mendapat tempat duduk di hadapan sekali terasa seperti ikan kering sedang di salai di atas jeti. Panas terik mentari  memancar di atas kepala tanpa ada perlindungan lain kecuali tingkap lutsinar.  Encik suami terpaksa menampal kertas majalah di permukaan tingkap itu untuk menggelakkan kepanasan maksima.  Dua jam perjalanan dalam keadaan panas terik dengan pendingin udara yang seringkali rosak menghantui diriku.  Panas sauna pun tidaklah sepanas ini tapi tidaklah dapat di bayangkan dengan panasnya api neraka lagi kata ustazah. Astaghfirullah hal azim.  Baju basah lencon dan muka terasa tegang keperitan.  Ini kisah benar.

Apabila teringatkan kata-kata anak muda dari Italy di sebelah saya yang berkata "  i do not know where are the hell they're going to take us...  "  dalam perjalanan yang lama dan panjang namun tak bernoktah lagi itu.  Wahh....nak pergi neraka sangatkah kamu? Letih dan lesu tergambar di wajah semua.  Mungkin dia juga di antara pelancong seperti kami yang tidak pernah sampai lagi ke sini. Perkhidmatan bot laju yang paling teruk dalam sejarah.  Bila mereka menurunkan penumpang ke jeti lain, enjin bot dimatikan pula dan memakan masa yang lama untuk mengeluarkan bagasi. Mewakili isi hati keluh-kesah penumpang yang lain yang turut menunggu, memang terasa kami ingin terjun ke laut secara berjemaah dek kepanasan.  Ya Allah! KepadaMu kami berserah..
Dilambung ombak dan badai membelah lautan Cina Selatan.

Dengan melihat lautan kita melihat kebesaran Allah swt

Meninggalkan jeti di Gili Air setelah bot berhenti menurunkan penumpang. Pemandangan yang sungguh indah. Namun kami tidak turun menjejakkan kaki di sini, hanya menunggu di dalam bot.
Beginilah keadaannya apabila bot laju ini tiba di pantai Gili Trawangan.  Kami akan di sambut dengan ramainya oleh penumpang lain yang ingin pulang pula ke Tanah Besar sama ada ke Lombok atau pun ke pulau Gili yang lain atau pun meneruskan perjalanan ke pelabuhan lain di Bali.

Tiada jeti yang disediakan untuk bot laju berlabuh. Hanya tangga besi yang dilekatkan pada bot untuk turun.  Haruslah berhati-hati untuk turun kerana bot masih bergerak-gerak di pukul ombak dan jaraknya yang tinggi untuk kaki kita menjejak pantai.  Bagasi akan diturunkan oleh anak-anak bot dan dibawa ke pantai.

Masjid Agung Baitur Rahman
 
Ketibaan kami ke Gili Trawangan di sambut dengan laungan azan zohor yang kuat berkumandang di pesisiran pantai.  Gili Trawangan lebih pesat membangun dan mempunyai lebih kemudahan berbanding dengan gili-gili yang lain.  Sebuah masjid yang bernama Masjid Baitur Rahman yang besar pun ada di sini dan sedang menjalani proses menaiktaraf. Usai mendirikan solat jamak di masjid itu kami pun mula menyusuri kawasan pantai.  Kami juga ada berjumpa dengan sahabat dari Malaysia yang bercuti dan menginap di Sengigi.

Semua jenis pengangkutan automobil dan bermotor adalah di larang sama sekali untuk digunakan di pulau kecil ini.  Ini telah diwartakan oleh ordinan kerajaan tempatan.  Maka tiadalah asap debu atau pencemaran udara di pulau ini.  Lima bintang!!
Pengangkutan di sana hanyalah dengan berjalan kaki atau pun mengayuh sendiri basikal yang di sewa atau menggunakan khidmat kereta kayu yang di tarik dengan kuda yang dipanggil Cidomo untuk mengangkut bagasi ke tempat penginapan. Loceng yang kuat akan dibunyikan untuk memberi amaran kepada si pejalan kaki untuk ke tepi apabila Cidomo membuat perjalanan dengan laju.

Terdapat beberapa resort yang menyediakan penginapan, kolam renang dan restoren. Kebanyakan penduduk pulau akan tinggal di pesisiran pantai ini kerana terdapat banyak kemudahan di sini berbanding di gili yang lain.

Terdapat juga  restoren yang halal di sini kerana Lombok mempunyai ramai penduduk beragama Islam.  Mampir untuk berposing sahaja di depan restoren ini tetapi kami tidak makan di situ.

Rumah penginapan ada disediakan di kiri kanan jalan.  Kemudahan air bersih agak sukar di dapati  katanya dan air bersih diperolehi dan di bawa masuk menggunakan bot persendirian dari Gili Air.  Namun di bilik airnya sentiasa mempunyai air walaupun tidak jernih tetapi kita harus bersyukur sekurangnya masih ada air yang mengalir di pilinya.
Kami singgah makan tengahari sambil menikmati indahnya lakaran lukisan alam tanpa calitan pastel , cat minyak mahupun poster colour terbentang di canvas mata.  Hidangan  pembuka selera Ceasar Salad yang nampak indah   gambarnya di lampiran menu tapi nampak disebaliknya kala terhidang membuatkan kita sedikit hampa.   Namun kehampaan itu sedikit terubat apabila menikmati Ayam Bakar Tigilawang ala-ala ayam percik bersama nasi kukus dalam kepanasan pantai yang membara sambil menyedut fresh oren berais yang sejuk dan menyegarkan. Bersyukurlah walau rasanya tidak menepati cita.
JOM snorkelling! Pantai yang indah dengan laut yang kebiruan.  Masha Allah.
Melepak santai

Kebanyakan penduduk asal di sini terdiri dari nelayan dan petani yang berasal dari Sulawesi. Dulu pulau kecil ini hanya dipenuhi dengan hutan. Kini industri pelancongan merupakan sumber pendapatan utama kerana pulau ini terlalu kecil untuk sektor perladangan dan terlalu jauh untuk menjana industri perniagaan dsb. Petikan dari wiki.

Kini terdapat perkhidmatan bot laju setiap hari dari Pelabuhan Benoa dan Serangan di Selatan Bali dan dari Padang Bai dan Amed (Bali) di Timur dan Barat Daya Bali. Pelabuhan Benoa dan Serangan adalah lebih kurang 25 min dengan kereta (bergantung kepada trafik) dari Kuta dan laluan utama yang lain di Selatan Bali. Padang Bai pula lebih kurang 1 jam lebih dengan kereta dari tempat yang sama. Petikan dari Wiki.

Mode :  Untuk yang ingin ke pulau-pulau kecil Gili ini adalah wajar untuk bermalam di sana. Pemandangannya memang sangat cantik dan anak-anak akan seronok mandi manda bersnorkelling dan emak apak pula dapat  berscuba pula sambil menikmati dan mengkagumi indahnya alam ciptaan Allah swt di dasar laut.  Walau bagaimanapun kami terpaksa mengejar bot laju yang terakhir untuk pulang ke Padang Bai  pada petang itu juga walaupun hati tidak puas kerana tidak dapat berkelana lama.  Oh sungguh.. satu hari yang indah tapi sangat mencapekkan.

Verdict :  Jika kita mengambil cuti yang lama dan tidak menggunakan travel ejen, kita tidak perlu menempah hotel yang sama untuk tempoh yang lama di Bali kerana sebenarnya kita boleh merancang perjalanan ke Lombok dan pulau-pulau Gili yang berhampiran dan bermalam di sana pula.    Ini adalah lebih menjimatkan.  Jika ada rezeki lain kita akan sampai ke Lombok pula. Aamiinn. Inshaa Allah.
Andai bisa aku menggapai awan di langit biru Mu
"Ingatlah dengan hanya mengingati Allah hati akan menjadi tenteram" (Qs. ar-Ra'du:28) #muhasabahdiri

Kita jumpa lagi di Tokyo!

Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?