Juadah berbuka.. kalau tak berdaya jangan tengok!

Alhamdulillah.. syukur ke hadrat Allah swt kerana diberikan umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk menunaikan ibadah di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini lagi.  Alhamdulillah juga kerana diberikan kurnianya untuk menulis lagi .. percayalah ini bukan omongan dan bacaan kosong sahaja.  InsyaAllah..

Alhamdulillah .. sedikit "ilmu" sempena memasuki fasa ketiga ini iaitu 10 hari terakhir.  Malam tadi di surau selepas solat isya' ada dinyatakan bahawa 10 hari terakhir ini adalah fasa pembebasan dari api neraka.  Semoga kita semua dapat menjalankan ibadah puasa ini sampai akhirnya nanti dengan sempurna dan penuh sabar serta berhikmah sebelum kita berhadapan dengan malam lailatulkadar yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam.
cuaca panas ni teringat pulak kat air lai chee kang.. hmmmm

Sedikit mutiara kata yang sering di baca :


“Ramadan ini terbahagi kepada 3 fasa, iaitu 10 ramadan yang pertama adalah rahmat, 10 ramadan yang kedua adalah keampunan dan 10 fasa terakhir adalah fasa pembebasan dari api neraka.”

" Seandainya solat tarawih ada 100 saf maka pastikanlah salah seorangnya adalah kamu. Seandainya tinggal 10 saf maka pastikan salah seorangnya adalah kamu. Seandainya hanya tinggal 1 saf maka pasti “bilal”nya adalah kamu! "
tetiba teringatkan cik pizza lah pulak.. angkara iklan di fb,, beli 1 free 1
Alhamdulillah juga.. di surau taman kami dibahagian muslimah masih ramai seperti waktu pembukaannya dulu.  Tahniah... (berpesan pada diri sendiri).  Walau apapun pada cuti hujung minggu sempena Nuzul Quran yang baru berlalu ini, sempat juga kami sekeluarga balik ke rumah emak di KKB lagi untuk berbuka bersama-sama.  Emak kelihatan bertambah uzur di bulan puasa ini dengan selsema dan batuk-batuk yang membuatkan emak kurang sihat.  Emak tidak segagah dulu lagi untuk pergi bersembahyang tarawih hanya dua kali sahaja yang mampu diikutinya di surau depan rumah.  Walaupun begitu emak masih gigih berpuasa bila saya ajukan soalan kepadanya yang kurang sihat,  dengan pertanyaannya balik pada diri saya ~ " kalau nak cuti puasa, bila pula mak nak gantikan puasa ini nanti? "..  hmmm... masyaAllah..subhanaAllah.. kita juga  pasti akan melalui fasa begini satu hari nanti.  Bayangkan di usia 80-an nanti, berpeluangkah saya mengecapi umur sebegini?  Semoga Allah swt memberikan  kepada kedua-dua emak dan emak mertua saya serta semua emak-emak sedunia umur yang panjang, kesihatan yang baik dan anak-anak yang sentiasa menyayangi mereka.  Walau pun Allah swt tahu semua anak-anak sayangkan emak abah mereka tetapi dengan umur mereka yang semakin jauh ini "show them that we care..." (berpesan lagi pada diri sendiri).    Walau apapun, tahun ini saya agak terkilan kerana tidak dapat sama-sama berdiri bersebelahan bersembahyang tarawih bersama emak.  Mode : i'm sad... you don't know...
anak-anak bersama emak pd bulan mei 2012

Bagaimana dengan puasa kita semua setakat ini? Jika ada sedikit kesusahan atau keperitan.. berdoalah banyak-banyak (extra lebih banyak) kepada Allah swt.. insyaAllah.. Allah swt itu Maha Pemurah.. sebelum senang tempuhilah susahnya dulu.. barulah kita mengenal kehidupan.

" Aku bersujud kepada Tuhan yang menjadikan diriku, Dialah Tuhan yang telah membukakan pendengaran dan penglihatan dengan kekuasaanNya " ~ bacaan di dalam sujud sajdah

pun sedap juga.. haish!

Kami memulai minggu pertama Ramadhan dengan berbuka bersama keluarga mertua saya di Cheras dan juga balik ke rumah emak saya di KKB hari berikutnya. Kami juga berkesempatan mengakhiri minggu pertama Ramadhan ini dengan menjemput keluarga besar disebelah suami saya untuk berbuka puasa bersama-sama di rumah. Seperti rutin Ramadhan yang lalu, selepas sahaja berbuka ala kadar dengan menjamah sedikit makanan, kami akan solat maghrib berjamaah bersama-sama. Ini disudahi dengan solat isya' dan tarawih di surau berdekatan. Minggu berikutnya kami pula dijemput ke rumah kakak ipar untuk berbuka bersama-sama di Klang. Kemudian akan ke rumah kakak ipar saya di Shah Alam pula. Rutinnya seharusnya sama sahaja. Acara-acara sempena bulan Ramadhan ini sebenarnya menambahkan lagi keakraban dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya keluarga bukan sahaja terikat kepada satu keluarga kita sahaja tetapi haruslah di ikat dengan keluarga-keluarga yang lain juga untuk menjadikan kemesraan itu berpanjangan. Begitu juga sempena semangat tarawih ini, kita juga dapat bersua muka dengan jiran-jiran kita a.k.a " jiran jarang jumpa " di surau. Jiran-jiran dan orang di sekeliling kita juga perlu dihargai atau kita "acknowledge" sebab haruslah di ingat bila kita mati nanti, siapakah yang akan memandikan, mengkapankan dan menanamkan jenazah kita? Adakah anak kita? cucu kita? adakah kita akan terjun menggolek sendiri ke dalam kubur? renung-renungkan.... sebenarnya kita sentiasa memerlukan di antara satu sama lain (berpesan pada diri lagi..)

menu utama berbuka di rumah saya : mee asam pedas tulang lembu
hari tu tak boleh tambah telur sebab ada yang allergik

mamamia..mmuahh...  selesai sudah mee asam pedas daging
Buffet Ramadhan?  Ni segan nak cerita .. bukan segan a.k.a malas bak kata orang utara tetapi segan ala malu nak cerita.  Masa dulu-dulu  (masa tinggal di Shah Alam) kami ni di kategorikan sebagai rajin juga untuk ke buffet Ramadhan.  Selalunya tempat  yang sering dikunjungi setiap Ramadhan ialah di De Palma Inn, Hotel Concord dan INTEKMA (semuanya berdekatan dengan rumah sebab senang balik cepat).   Bila ada offer yang menarik pasti kami akan ke sana.  Masalahnya pula kami terpaksa bermarathon cepat-cepat untuk mengejar waktu maghrib.. bergilir-gilir untuk menunaikan solat tanpa dapat bersolat jamaah bersama keluarga.  Kemudian makan dan makan dan makan tanpa hadnya.  Nama pun buffetkan... melantak while you can... Astaghfirullah.. hal azim... bila diingat-ingatkan kembali, apa telah kami buat??? kini bila mengingatkan nasib insan-insan di Kashmir, di Palestin, di Syria, Rohingnya di Burma, di Somalia, di Darfur malah di mana-mana sahaja yang mengalami nasib malang... mengingatkan anak-anak yatim yang kehilangan emak abah, mengingatkan anak-anak Tipah (ex-mak guard di sekolah rendah) yang mempunyai seramai lima orang anak tanpa ayah, kawan een yang baru kematian ayah secara mengejut sebelum bulan puasa baru ni, anak-anak buah yang tiada berayah lagi banyak menimbulkan keinsafan di hati kami sekeluarga.  Kini sudah bertahun kami meninggalkan budaya buffet Ramadhan ini... mujur Allah swt masih memberi kami peluang untuk bermuhasabah diri.  Alhamdulillah.. walau pun begitu, jika ada jemputan saya tidak akan menolak cuma akan lebih beretika bila menghadapi makanan dengan berbuka sekadar mengalas perut sahaja.  Sesungguhnya saya memang seorang yang tidak pandai makan dengan begitu banyak untuk " one GO! "
garnishing : racikan lobak merah, bawang putih goreng dan daun ketumbar

seharusnya mee ini di putar utk showmanship yg menarik.. heeee..

menu utama di rumah mak uda : kuah laksa siam yang sedap di tambah bahan2 di atas.. yumm  eh!

Awal Ramadhan dulu memang saya bertekad untuk memasak sendiri lauk-pauk untuk berbuka puasa.  Walau bagaimana pun suami sering memanjakan anak-anak dengan membeli "side dishes" sebagai ganjaran kepada anak-anak yang memang rajin berpuasa.  Saya yang begitu "cuak" pada mulanya dengan penjual-penjual segera di bazaar Ramadhan ini terpaksa mengalah apa tah lagi bila menjelang petang, stamina memasak dulu tidak sama dengan stamina yang ada sekarang apatah lagi apabila umur sudah hampir menjengah senja.   Kini saya hanya memasak serba ringkas sahaja (satu lauk utama, seperiuk nasi, se jag besar teh 'O') dan selebihnya dibantu dengan hidangan oleh tukang-tukang masak di bazaar Ramadhan.  Kelas kau Maria.... tsk.tsk..tsk... bila kita tidak letih kerana penat memasak dan cukup tidur kerana tidak mengantuk amat mudah untuk ke surau menunaikan ibadah malam.  Alasan lagi..

sup daging juga bagus untuk menguatkan badan
ulaman untuk memudahkan pencernaan
tak lengkap ulaman tanpa sambal belacan
shekali shekala.. sutun bakar
dah bakar sotong.. bakar ikan sekali..
Abu Laith Al-Samarqandi berkata : "Sepuluh jenis amalan yang dapat menyampaikan manusia ke peringkat orang-orang yang baik dan darjat yang tinggi ialah banyak bersedekah, banyak membaca al-Quran, duduk bersama orang yang selalu mengingati akhirat, menghubungkan silaturrohim, menziarahi orang sakit, kurang bergaul dengan orang kaya yang lupa akhirat, banyak memikirkan bagaimana keadaan dirinya kelak, kurang angan-angan dan banyak mengingati mati, lebih banyak diam dan kurang bercakap serta tawadduk, sederhana dalam berpakaian, sayang kepada orang miskin, gemar mendekati anak yatim dan mengusap kepala mereka.  Harap baca... dan "digest" serta praktikkannya.. insyaAllah.. (pesanan kepada diri serta kepada semua yang membacanya) ~ petikan majalah Iman bil. no.6

menunggu waktu untuk solat isya' + tarawih di rumah mak uda
 wajah emak mertua yang di kasihi bersama anak menantu
Teringat satu malam apabila Ustaz Don dalam rancangannya ada menyatakan semakin dekat kita menghampiri ke penghujung Ramadhan, hendaklah kita sama-sama berdoa dengan doa-doa yang baik kerana kita tidak tahu bilakah "exact time" nya kedatangan lailatul qadar ini.  " Ya Allah redhokanlah kami, ampunkanlah dosa kami dan jauhkan kami dari api neraka ".

Firman Allah swt yang bermaksud :

( Malam ) Lailatulqadar adalah lebih baik dari seribu bulan" ~ surah al-Qadar : 3

Adam Qayyim yang comel.. semoga menjadi anak yang soleh..amin
bila Adam besar To' Anjang jangan sakat ya!
Kewajipan berpuasa bukan sahaja untuk merawat jiwa manusia dalam ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt tetapi juga sebagai terapi tahunan untuk manusia.   Ini dinyatakan sendiri oleh Allah swt dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya." ~ al-Baqarah : 184

sotong paprik
sambal tumis udang
masak lemak lala
  • Adakah dengan Ramadhan ini kita sudah berubah, dari selalu bersangka buruk kepada bersangka baik?
  • Adakah kita dapat tahan mulut kita dari bercakap kosong?
  • Adakah kita dapat jaga mata kita dari tengok benda yang sia-sia?
  • Adakah kita betul-betul beribadah semata kerana kita beriman kepada-Nya dan mengharapkan sepenuh ganjaran hanya dari-Nya.
Seringkali membaca pernyataan ini iaitu kayu ukur Ramadan 1433H ialah 11 bulan yang mendatang… ukur-ukurlah sendiri ya!  Akhir kata marilah kita bersama-sama sempena bulan Ramadhan ini kembali kepada al-Quran, ,membaca dan mengamalkannya.  Mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan orang yang memperoleh kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat... Amin
bahagia kerana semua anak-anak ada bersama
S  E  L  A  M  A  T    B  E  R  A  M  A  L     

Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?