si penaung jalanan yang masih tidak ku tahu namanya..

Berhari-hari aku meng " google " mencari nama pokok ini.  Pokok naungan yang berbaris menghiasi sepanjang perjalananku setiap hari.  Paling minima 6 perjalanan ulang alik, paling maksima 12 perjalanan jika suami berada di luar kawasan.  

Setiap perjalanan pergi mengambil masa 15 minit dan perjalanan balik pun begitu juga.   Alangkah seronoknya aku memandu sambil mencuci mata melihat barisan pokok-pokok naungan "favourite" ku ini.
cantik..


Di sepanjang bulan Mei ini, hatiku mekar mengembang melihat keindahan bunga-bunga ini. Ungu cerah keputihan berjambak-jambak bergayut di dahan dan anak ranting pokok-pokok ini. 

Apatah lagi bila angin bertiup kencang, gugusan bunga-bungaannya jatuh berguguran, bertebaran. Tidak dapat membayangkan betapa cantiknya anugerah kurniaan Allah swt ini.  Alangkah ruginya aku kerana setiap kali aku melalui perjalanan-perjalanan ini, terlupa membawa kamera kecil kesayanganku untuk mengabadikan kecantikan lukisan alam ini.  
penuh berbunga

Kekadang sebenarnya aku merindui akan waktu-waktu lampau kira-kira 15-16 tahun yang lampau Ketika itu kami sekeluarga tidak berada di Malaysia.  

Bayangkan keindahan pokok blossom berwarna merah jambu memenuhi pokok-pokok yang berbaris.  Hingga kelibat dedaun pun sukar untuk dilihat dek kerana amukan bunga-bungaan ini.  

Di musim bunga di rantau orang.  Aku dan kedua anak kecilku ketika itu akan menyusuri jalan. Membiarkan mereka bebas berlari-lari.  Menikmati kecantikan pokok-pokok yang tersusun berbaris sambil membiarkan mereka mengutip bungaan yang gugur layu menjadi hamparan permaidani jalanan dalam cuaca sejuk  walaupun di musim bunga.
Akhirnya gugur juga ke bumi

Ketika di waktu itu kerana amat merindui orang-orang kesayangan yang berada jauh di tanahair, aku akan melekakan diri dengan mencuci mata melihat pokok-pokok ini. 

Tapi kini situasi yang sama berlaku ketika ini. Aku merindui suasana di sana pula di sebabkan oleh kerana pokok naungan ini. 

Hujung minggu lepas, ketika pulang menziarahi emak ada aku bertanyakan pada emak nama pokok ini. Emak kata mungkin pokok Tembusu. Malangnya bila aku meng "google" , walaupun batang pokok dan bentuk daunnya sama tapi kata cik "google", pokok Tembusu berbunga kuning cerah. Haiya... lain pula warna bunganya.
 jangan sombong ya!

senyum sikit

kan cantik...

Aku menggeledah dan menyelongkar lagi hingga ke laman FRIM, bermacam-macam jenis spesis dan nama pokok yang ku selusuri.  Aku mula mencari dengan soalan " pokok naungan yang berwarna merah atau ungu cerah " ~ wah... Chinese Honeysuckle, Anthurium Pink, Plum, Peonies, Hymecallis Littoralis, Blossom, Magnolia.. dan bla bla bla... semuanya bukan.  Bukan dan bukan... kemudian Eugenia Oleava, Bignoniaceace, White Tabebuia, Pink Gladious, Bungor, Allamanda Cathartica ( Nama pokok di Putra Jaya), Japanese Sakura ( pokok ni sah-sah di Jepun), Cherry Blossom... aduh... akhirnya aku tersekat di pokok ini ~ Cuban Pink Trumpet Tree.  

Dengan bunga yang berwarna seakan yang sama.. aku pasrah, selagi aku belum begitu yakin dengan nama bunga ini... aku akan namakan pokok naungan ku ini buat sementara waktu dengan nama ini " Cuban Pink Trumpet Tree "... sehingga aku berjaya mencari nama sebenar pokok ini, aku akan sentiasa mengemaskinikan entri ini.  Update jangan tak update mak!

Entri update ~ 15 April 2014 - Atlast.. setelah hampir 2 tahun apabila di negeri Kedah menghadapi musim bunga seakan bunga Sakura di Jepun, barulah ku tahu pokok ini bernama "Pokok Bungor".  Alhamdulillah...

ranting

ranting yang tidak lokek turut berbunga

Di pagi Jumaat 25 Mei yang lalu, sementara menunggu kedua anakku balik sekolah, aku mengheret miss little yang baru pulang dari SRA untuk menikmati "pokok ciptaan Allah swt" yang cantik ini.   Walaupun bunga-bungaannya telah hampir keseluruhannya gugur ke bumi, sekurang-kurangnya dapat ku abadikan lukisan alam yang bermodalkan mata sahaja untuk kami melihat. 

Walaupun tiada lagi angin kencang yang bertiup menggugurkan bunganya, sesekali sekuntum dua yang gugur ditiup angin lembut sudah cukup buatku melupakan kerinduanku ... kerinduan pada suasana tenang dan damai seperti satu waktu dahulu.
lompat jangan tak lompat

lompat tinggi-tinggi


Dan di dalam kita melihat keindahan bumi dan tumbuh-tumbuhan itu kita dapat membaca firman Allah swt yang bermaksud :

" Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata. " (Qaaf : 7)

" Dan yang menurunkan air untukmu dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah. " (Al Naml : 60)



Sesungguhnya setiap kejadian dan ingatan serta kerinduan itu adalah keindahan yang ingin Allah swt beri kepada kita hamba yang kerdil ini agar melihat dan menikmati serta menghargai dan mensyukuri bahwa setiap sesesuatu yang di kurniakan adalah " Anugerah yang terindah " .. betul kata sahabatku Ita.  Akan ku "update" lagi bila pokok naunganku ini bernama dengan namanya yang sebenarnya... InsyaAllah... sampai di sini dulu.

Dedaun berbunga cinta

Comments

Popular posts from this blog

Dari Sekinchan ke Tanjung Karang.. jom cari kerepek!

Awas.. Kata pujian kepada anak-anak kecil

Nak pakai apa dikolam renang?